
MELAKA – Seorang pesara tentera didakwa atas lapan pertuduhan termasuk melakukan amang seksual dan mencederakan dua anaknya masing-masing berusia empat dan lapan tahun serta menampar isterinya, sejak Mei lalu.
Pertuduhan terhadap tertuduh yang berusia 40 tahun bagaimanapun dilakukan di Hospital Melaka susulan lelaki itu sedang menerima rawatan kerana mengalami masalah pernafasan.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Majistret Uthman Abd. Ghani hadir di hospital dengan diiringi jurubahasa mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai penyiasat bagi prosiding pertuduhan terhadap tertuduh.
Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Raja Noor Adilla, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia lapan tahun dan anak perempuan empat tahun di sebuah rumah di Sungai Udang, masing-masing pada waktu malam dan pukul 7.23 pagi, 23 Mei serta 3 Jun lalu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap anak perempuannya di lokasi, tarikh dan masa sama. Bagi pertuduhan itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah dan Raja Noor Adilla membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Uthman, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isteri dan dua anaknya itu.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan cara menampar muka mangsa yang berusia 35 tahun dan memukul badan dua anaknya itu di sebuah rumah di Sungai Udang, kira-kira pukul 3 petang pada 11 Ogos lalu. Uthman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.
Terdahulu, pendakwaan masing-masing telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah Izzati Abdul Mutalif dan Syauqi Mardia Baharudin. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 21 September depan. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara tentera didakwa ‘sentuh’, pukul dua anak dan isteri appeared first on Kosmo Digital.






