Dua remaja lemas, jasad ditemukan pada kedalaman lima meter

23 Aug 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua remaja lemas, jasad ditemukan pada kedalaman lima meter
Jasad mangsa ditemukan di Sungai Pagalan, Keningau.

KENINGAU - Dua remaja yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pagalan, di sini, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Ahad.

Jasad mangsa pertama, Jastey Goment, 16, ditemukan pada jam 10.34 pagi manakala, mangsa kedua, Khend Romel Ponce Caceres, 13, ditemukan pada jam 3.55 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, operasi SAR kedua-dua mangsa yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 9 pagi Ahad.

"Operasi SAR dibahagikan kepada dua bahagian iaitu menggunakan pasukan pertama melakukan pencarian di kawasan permukaan air sepanjang tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang manakala pasukan kedua, menggunakan kaedah tali sejauh 500 meter dari lokasi mangsa terakhir dilihat.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pula melakukan selaman pertama pada jam 10.30 pagi dan kira-kira empat minit kemudian berjaya menemui jasad mangsa pertama di kedalaman lima meter dan sejauh 50 meter dari dia dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, operasi SAR diteruskan untuk mencari mangsa dengan kaedah selaman oleh PPDA.

"Mangsa kedua kemudian ditemukan pada jam 3.55 petang iaitu kira-kira 80 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Kedua-dua mangsa telah ditemui ketika masih di dalam dasar dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.

Susulan penemuan itu, Severinus berkata, operasi SAR berkenaan telah ditamatkan.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan mereka di sungai tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved