DUN Sarawak bubar 26 Okt 2026 untuk beri laluan PRN ke-13

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 3:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DUN Sarawak bubar 26 Okt 2026 untuk beri laluan PRN ke-13 Image from: DUN Sarawak bubar 26 Okt 2026 untuk beri laluan PRN ke-13 sarah23/10/2026 - 15:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa Isnin depan, 26 Oktober 2026, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembubaran itu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selepas beliau menghadap bagi memohon perkenan berkenaan.

 

Menurutnya, perkenan tersebut diberikan selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, manakala Perkara 21(4) menetapkan pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

 

Beliau berkata, DUN baharu pula perlu bersidang tidak lewat daripada 120 hari selepas tarikh pembubaran.

 

“Ketika kita menghampiri penghujung penggal ini, adalah wajar mandat baharu diperoleh daripada rakyat.

 

“Selaras dengan amalan demokrasi berparlimen, rakyat Sarawak perlu diberi peluang melaksanakan hak demokrasi mereka untuk memilih kerajaan baharu dengan mandat segar bagi meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

 

Abang Johari berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran DUN bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilaksanakan, termasuk penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

 

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, kerajaan negeri akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara (caretaker government) dengan mematuhi peruntukan perlembagaan serta amalan yang berkaitan.

 

“Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat sentiasa diberikan perhatian,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan sepanjang penggal pentadbiran ini, selain menghargai komitmen ahli DUN serta penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

 

“Saya menyeru kepada semua pihak khususnya parti politik, calon dan penyokong supaya sentiasa menghormati undang-undang dan menjaga tingkah laku dengan bertanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya nanti.

 

“Marilah kita bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak yang amat kita hargai sekali gus membolehkan rakyat membuat pilihan secara bebas demi masa depan Sarawak,” katanya.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved