sarah23/10/2026 - 18:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - AmBank (M) Bhd melengkapkan pengambilalihan Menara AmBank di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, pada harga RM331 juta daripada AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT), sekali gus memuktamadkan transaksi yang diumumkan sejak Jun lalu.
AMMB Holdings Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikat milik penuhnya, AmBank, telah menjelaskan baki harga pembelian pada 23 Oktober 2026, sekali gus menyempurnakan transaksi itu mengikut terma perjanjian jual beli (SPA).
Pengambilalihan tersebut melibatkan bangunan pejabat pegangan bebas setinggi 46 tingkat, termasuk tujuh tingkat tempat letak kereta bertingkat, bersama aset dan hak berkaitan daripada Maybank Trustees Bhd selaku pemegang amanah bagi pihak AmFIRST REIT.
Pembelian bangunan yang menempatkan ibu pejabat AmBank itu bertujuan menjamin penggunaan ruang pejabat bagi jangka panjang, selain mengurangkan kebergantungan bank terhadap penyewaan hartanah.
AmBank merupakan penyewa utama Menara AmBank, dengan menguasai kira-kira 65.6% daripada keseluruhan ruang boleh disewa bersih bangunan berkenaan yang berkeluasan kira-kira 453,419 kaki persegi.
Harga pembelian RM331 juta itu dipersetujui selepas mengambil kira penilaian bebas sebanyak RM333 juta oleh PPC International Sdn Bhd, manakala transaksi tersebut dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman AmBank.
Sebagai latar belakang, DagangNews.com pada 4 September lalu melaporkan bahawa AmFIRST REIT memperoleh Menara AmBank pada Disember 2006 dengan kos pelaburan asal RM230.17 juta. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, bangunan itu menjana pendapatan sewa kira-kira RM19.9 juta dan pendapatan hartanah bersih RM9.4 juta.
Cadangan penjualan berkenaan kemudian mendapat kelulusan pemegang unit AmFIRST REIT pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 21 September 2026, dengan 96.14% undi yang dibuang menyokong transaksi tersebut.
Menurut laporan DagangNews.com pada 21 September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers Sdn Bhd, Chong Hong Chuon berkata, pelupusan Menara AmBank dijangka membantu mengurangkan nisbah hutang AmFIRST REIT kepada kira-kira 33% berbanding paras sebelumnya antara 46% hingga 47%.
Beliau berkata, langkah itu juga akan memberikan ruang kepada AmFIRST REIT untuk meneroka peluang pelaburan baharu, termasuk dalam sektor penjagaan kesihatan, perindustrian, logistik dan pendidikan, sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan portfolio hartanahnya.- DagangNews.com






