Duopharma dilantik pengedar eksklusif vaksin HFMD di Malaysia, Singapura dan Brunei

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Duopharma dilantik pengedar eksklusif vaksin HFMD di Malaysia, Singapura dan Brunei Image from: Duopharma dilantik pengedar eksklusif vaksin HFMD di Malaysia, Singapura dan Brunei sarah15/10/2026 - 17:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Duopharma Biotech Berhad bakal mengembangkan perniagaan vaksinnya ke tiga pasaran Asia Tenggara selepas memperoleh hak pengedaran eksklusif vaksin bagi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Malaysia, Singapura dan Brunei, yang dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Duopharma berkata, anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn Bhd (DMSB), telah memeterai perjanjian pembekalan dengan syarikat Taiwan, Enimmune Corporation, bagi mengedar vaksin monovalen enterovirus EV71 yang dikenali sebagai EnVAX-A71.

 

Menurutnya, perjanjian itu memberikan DMSB hak eksklusif untuk memasarkan, menjual dan mengedarkan vaksin berkenaan di ketiga-tiga negara, tertakluk kepada kejayaan pendaftaran produk serta kelulusan pemasaran daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

"Kerjasama ini menyokong strategi kumpulan untuk memperluas portfolio produk biologi dan membangunkan perniagaan vaksin dengan memperkenalkan pilihan pencegahan tambahan terhadap HFMD yang dikaitkan dengan EV71 di Malaysia," menurut syarikat itu.

 

Duopharma berkata, pengedaran vaksin tersebut akan memanfaatkan rangkaian pengedaran tempatan dan kemudahan rantaian sejuk sedia ada, selain membuka peluang kepada kerjasama lanjut dengan Enimmune bagi produk vaksin lain yang sedang dibangunkan.

 

Dari segi kewangan, kumpulan itu menjangkakan perjanjian berkenaan menyumbang secara positif kepada keuntungan, pendapatan sesaham (EPS), aset bersih dan aset bersih sesaham selepas jualan komersial bermula, namun jumlah sumbangan bergantung kepada penerimaan pasaran serta kadar penggunaan vaksin tersebut.

 

Syarikat itu menjelaskan, urus niaga berkaitan perjanjian akan dibiayai menerusi dana dalaman dan kemudahan pembiayaan perdagangan jangka pendek mengikut keperluan, tanpa dijangka memberi kesan material terhadap tahap hutang berbanding ekuiti kumpulan.

 

Perjanjian pengedaran itu akan berkuat kuasa selama lima tahun dari tarikh pelancaran produk di setiap negara, dengan DMSB perlu memenuhi kuantiti pembelian minimum tahunan selepas memperoleh kelulusan berkaitan. Enimmune berhak menamatkan perjanjian sekiranya DMSB gagal mencapai 70% daripada kuantiti pesanan minimum selama dua tahun kontrak berturut-turut.

 

Bagaimanapun, Duopharma tidak mendedahkan nilai kontrak, sasaran jualan atau anggaran sumbangan keuntungan daripada pengedaran vaksin tersebut, manakala pelaksanaannya masih tertakluk kepada risiko pendaftaran produk, kelulusan kawal selia serta cabaran penyimpanan dan logistik penghantaran.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved