
LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa pemainnya menerima kekecewaan selepas tersingkir daripada Piala Liga Inggeris (EFL) apabila tewas kepada Fleetwood Town menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan keempat.
Arsenal bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Viktor Gyokeres selepas ketinggalan kepada pasukan dari divisyen ketiga itu, namun gagal melengkapkan kebangkitan sebelum tewas dalam penentuan penalti.
Arteta mengakui kekalahan itu amat mengecewakan, tetapi menegaskan dia tidak mempunyai alasan untuk mengkritik sikap, komitmen dan kesungguhan pemainnya sepanjang perlawanan.
“Pertama sekali, tahniah kepada Fleetwood kerana mara ke pusingan seterusnya. Jelas sekali, ini hari yang amat mengecewakan buat kami,” katanya.
Menurut Arteta, kesilapan ketika melepaskan gol awal memberi keyakinan kepada lawan, manakala kegagalan menyudahkan peluang terhidang menjadi antara punca Arsenal gagal meneruskan kemaraan dalam kejohanan itu.
“Selepas itu, kami mula menyerang dan mencipta banyak peluang, termasuk percubaan serta situasi berbahaya yang jelas, tetapi gagal menyudahkannya. Jika tidak memanfaatkan peluang di peringkat ini, anda akan tersingkir kerana tiada ruang untuk melakukan kesilapan,” katanya.
Arteta berkata, pemainnya perlu menerima hakikat kekalahan itu sebelum mengalihkan perhatian kepada aksi menentang Liverpool di Anfield pada Isnin ini, selain memastikan penyokong yang hadir memberikan sokongan tidak pulang dengan kekecewaan berpanjangan.
“Kami perlu menerima kekalahan ini. Kami amat sedih, begitu juga semua penyokong yang datang menyaksikan perlawanan kerana saya mahu menghadiahkan kemenangan kepada mereka. Sekarang kami perlu pulih dan bersedia untuk ke Anfield,” katanya.
Hampir 1,000 penyokong The Gunners hadir ke utara England bagi menyaksikan perlawanan itu, dengan Arteta menghargai sokongan mereka menjelang tiga aksi berturut-turut di gelanggang lawan. – AGENSI
The post EFL: Arsenal berdepan aib besar appeared first on Kosmo Online.





