Arteta bimbang status kecederaan Saka

FootballSports
23 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Arteta bimbang status kecederaan Saka

MUNICH: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bimbang dengan tahap kecederaan pemain sayap Bukayo Saka selepas The Gunners seri 2-2 dengan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Saka yang merupakan penjaring terbanyak bersama Arsenal musim ini bersama Victor Gyokeres, terpaksa dikeluarkan awal selepas rebah sambil memegang pahanya sebelum digantikan Eberechi Eze.

Dalam aksi itu, Eze membuka jaringan buat Arsenal sebelum Declan Rice menjaringkan gol lewat permainan untuk memastikan naib juara musim lalu itu membawa pulang satu mata, selepas Alphonso Davies dan Harry Kane menjaringkan gol buat Bayern.

Arteta berkata, keadaan kecederaan Saka masih belum dapat dipastikan, namun mengakui pasukan perubatan kelab bimbang dengan keadaannya.

“Mereka bimbang mengenai Saka. Apabila seorang pemain terpaksa keluar kerana mengalami kesakitan yang kuat, ia tidak pernah menjadi berita baik. Kami perlu menunggu dan melihat keadaannya.

“Tahap intensiti yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini juga luar biasa. Anda boleh lihat perkara itu dalam perlawanan PSG menentang Barcelona sebelum ini.

“Tahap yang diperlukan sangat tinggi. Ia benar-benar luar biasa. Ini adalah tahap tertinggi dan malangnya perkara seperti ini boleh berlaku. Dia langsung tidak kelihatan baik, tetapi kita perlu tunggu dan lihat,” kata Arteta.

Sementara itu, Arteta turut memuji usaha anak buahnya selain memberikan penghargaan kepada Bayern atas persembahan mereka.

“Bayern membelasah setiap pasukan, jadi saya sangat menghargai apa yang dilakukan pemain kami malam ini.

“Ini antara tahap permainan tertinggi yang pernah kami lalui… tahap lawan dan tahap permainan kami sendiri. Ia adalah perlawanan antara dua pasukan yang mahu menyerang dan bermain bola sepak,” katanya.- AGENSI

The post Arteta bimbang status kecederaan Saka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved