Tempahan RM314 juta sokong EGH International selepas disenaraikan di Pasaran ACE, kata TA Research

Business & FinanceProperty
2 Oct 2026 • 9:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tempahan RM314 juta sokong EGH International selepas disenaraikan di Pasaran ACE, kata TA Research Image from: Tempahan RM314 juta sokong EGH International selepas disenaraikan di Pasaran ACE, kata TA Research liza02/10/2026 - 09:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – TA Research menjangkakan EGH International Berhad (EGHI) mencatat pertumbuhan keuntungan berterusan bagi tempoh tiga tahun akan datang disokong tempahan pembinaan belum dibilkan sebanyak RM313.5 juta serta rancangan memperluas kapasiti operasi dan perniagaan runcitnya.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih teras EGHI meningkat 32.2% kepada RM16 juta bagi tahun kewangan 2027 (FY2027), diikuti pertumbuhan 25% kepada RM20 juta pada FY2028 dan 22.6% kepada RM24.5 juta pada FY2029.

 

TA Research berkata pertumbuhan itu disokong oleh jangkaan peningkatan hasil sebanyak 25% setahun bagi FY2027 hingga FY2029, selain margin keuntungan bersih teras yang diunjurkan kekal pada 6.8% bagi FY2027 dan FY2028 sebelum susut sedikit kepada 6.7% pada FY2029.

 

EGHI merupakan penyedia perkhidmatan kerja dalaman bangunan yang menawarkan penyelesaian daripada reka bentuk, perolehan bahan, pembinaan, pemasangan hingga menyiapkan projek bagi pelbagai segmen hartanah.

 

Syarikat yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman itu telah menyiapkan lebih 200 projek di Malaysia dan pasaran luar negara, termasuk hotel, pusat peranginan, pejabat korporat, kemudahan penjagaan kesihatan, institusi pendidikan, premis runcit, restoran dan bangunan kediaman.

 

Tempahan RM313.5 juta sokong keterlihatan hasil

Setakat 31 Ogos 2026, EGHI mempunyai tempahan pembinaan belum dibilkan sebanyak RM313.5 juta, bersamaan kira-kira 1.7 kali hasil FY2028 yang diunjurkan.

 

TA Research berkata kedudukan itu memberikan keterlihatan terhadap pendapatan EGHI bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang, selain menyediakan asas untuk syarikat terus mengisi tempahan projek baharu.

 

Pada masa sama, EGHI merancang meningkatkan kapasiti melalui pembinaan ibu pejabat, gudang dan bilik pameran baharu lima tingkat di Puchong, Selangor, dengan keluasan binaan kira-kira 130,000 kaki persegi.

 

Kemudahan baharu itu lebih tiga kali ganda berbanding premis semasa seluas 42,780 kaki persegi dan dijangka membantu mengatasi kekangan kapasiti, termasuk ruang pejabat dan gudang yang kini hampir digunakan sepenuhnya.

 

Pembinaan dijangka disiapkan pada suku pertama 2028, manakala operasi syarikat dijangka berpindah ke premis baharu itu pada suku kedua 2028.

 

ARTIKEL BERKAITAN: EGH International sasar kumpul RM38.4 juta menerusi IPO menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

 

IPO World jadi pemacu tambahan

Selain perniagaan kerja dalaman bangunan, EGHI turut berusaha mengembangkan segmen jualan kepada pengguna (B2C) menerusi IPO World yang menawarkan perabot, kelengkapan dan bahan binaan.

 

Menurut TA Research, EGHI merancang memperluas saluran pengedaran, menambah bilik pameran serta membangunkan model pengedaran berasaskan rakan niaga yang menyasarkan pereka dalaman, pengubah suai, kontraktor dan ejen hartanah.

 

Syarikat turut bekerjasama dengan Foshan Wision Furniture Manufacturing bagi menggunakan perisian reka bentuk dan visualisasi dalaman berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang disepadukan dengan katalog produk EGHI.

 

“Bagaimanapun, IPO World masih berada pada peringkat awal dan perniagaan kerja dalaman bangunan kekal sebagai penyumbang utama hasil EGHI,” katanya.

 

Dari segi kewangan, keuntungan bersih teras EGHI meningkat daripada RM3.8 juta pada FY2024 kepada RM7.4 juta pada FY2025 dan RM12.1 juta pada FY2026, walaupun pertumbuhan hasil dalam tempoh itu agak mendatar.

 

TA Research berkata peningkatan keuntungan tersebut didorong terutamanya pengembangan margin, susulan projek dengan margin kasar lebih tinggi serta penjimatan kos melalui proses perolehan yang lebih cekap.

 

Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, EGHI dijangka mengumpul RM38.4 juta daripada penyenaraian awam permulaan (IPO), dengan RM14.4 juta digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, RM13 juta bagi modal kerja dan RM5 juta untuk pembinaan ibu pejabat, gudang serta bilik pameran baharu.

 

Pembayaran balik pinjaman itu dijangka mengurangkan nisbah hutang bersih kepada ekuiti (gearing) EGHI daripada 1.9 kali sebelum penyenaraian kepada 0.3 kali selepas IPO, sekali gus memberikan ruang kewangan lebih besar untuk menyokong pengembangan dan pelaksanaan projek.

 

Firma itu turut mengingatkan bahawa EGHI berdepan beberapa risiko termasuk keperluan mendapatkan tempahan baharu secara berterusan, risiko pelaksanaan serta kelewatan projek dan turun naik harga bahan mentah.

 

Pada harga IPO 16 sen sesaham, TA Research menganggarkan nilai saksama EGHI sebanyak 22 sen berdasarkan nisbah harga kepada keuntungan (PER) sasaran 11 kali yang digunakan terhadap unjuran keuntungan sesaham FY2027.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved