EGM gagal, Zii Jia mohon campur tangan mahkamah

13 Oct 2026 • 4:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: EGM gagal, Zii Jia mohon campur tangan mahkamah

KUALA LUMPUR – Kegagalan melaksanakan mesyuarat terdahulu mendorong pemain badminton negara, Lee Zii Jia memohon perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management Sdn. Bhd. diadakan.

Peguamnya, Ahmad Zayd Ahmad Zuber daripada Tetuan Faisal & Zayd berkata, permohonan yang dibuat pada 2 Julai 2026  itu hanya bertujuan mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan EGM syarikat itu berlangsung.

Katanya, permohonan itu bukan berasaskan sebarang dakwaan salah laku antara pihak terbabit.

Menurutnya, permohonan injunksi interim yang dikemukakan pula adalah bagi menghalang bapanya, Lee Chee Hin selaku responden kedua dan kakaknya, Lee Zii Yii selaku responden ketiga daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan serta pengurusan LZJ Management sementara pertikaian undang-undang masih berjalan.

“Apa yang kita minta pada asasnya adalah permohonan untuk mengadakan EGM syarikat berkenaan sahaja.

“Tiada sebarang tuduhan antara pihak terbabit. Kita hanya memohon bantuan mahkamah untuk mengadakan EGM mengikut terma yang diminta,” katanya ketika dihubungi.

Menurut afidavit sokongan yang dikemukakan, usaha Zii Jia mengadakan EGM pada 22 Disember tahun lalu gagal selepas Chee Hin, Zii Yii dan adiknya, Lee Tao selaku responden keempat tidak menghadiri mesyuarat itu walaupun notis sudah diberikan sehingga menyebabkan mesyuarat tidak dapat diteruskan berikutan kuorum yang diperlukan di bawah Akta Syarikat 2016 tidak dipenuhi.

Zii Jia turut didakwa sudah berusaha menghubungi ahli keluarganya secara peribadi sebelum meneroka beberapa saluran lain, termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Afidavit sokongan itu menyatakan LZJ Management kini berdepan kebuntuan pengurusan dan pentadbiran, selain mendakwa tidak praktikal atau mungkin mustahil untuk mengadakan mesyuarat mengikut prosedur biasa yang diperuntukkan di bawah Akta Syarikat 2016.

Pendengaran permohonan itu dijadualkan pada 25 November ini.

 

The post EGM gagal, Zii Jia mohon campur tangan mahkamah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved