Ejek-mengejek cetus buli, pelajar tingkatan tiga dipukul

19 Aug 2026 • 1:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ejek-mengejek cetus buli, pelajar tingkatan tiga dipukul

SHAH ALAM – Ejek-mengejek dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah ini, dibuli dan dipukul sehingga didakwa berisiko mengalami masalah pendengaran dalam kejadian minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, motif kejadian itu diperoleh hasil siasatan awal dan keterangan yang telah diambil susulan kejadian itu.

Katanya, dalam kejadian tersebut suspek berusia 17 tahun dan mangsa adalah rakan sekolah.

“Punca disebabkan mengikut keterangan yang ada sehingga kini adalah berkaitan dengan aktiviti ejek-mengejek yang berlaku sebelum ini. Mereka merupakan kenalan satu sekolah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan yang membabitkan ugutan dan mendatangkan kecederaan selepas polis menerima laporan daripada pengadu dan mangsa.

Ujarnya, suspek telah ditangkap dan direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Berkenaan kecederaan, saya tidak boleh memberikan ulasan sebab perlu menunggu laporan rasmi daripada pegawai perubatan,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera pada leher dan tengkuk serta berisiko kehilangan pendengaran selepas didakwa dibuli dan dipukul di sebuah sekolah menengah di sini.

Lebih menyedihkan, kejadian itu turut menyebabkan mangsa berusia 15 tahun mengalami trauma serius sehingga banyak berkurung di dalam bilik, selain kurang selera makan dan bercakap. – KOSMO! ONLINE

 

The post Ejek-mengejek cetus buli, pelajar tingkatan tiga dipukul appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved