
SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa mengalami masalah pendengaran dan trauma teruk selain gangguan emosi akibat dibuli pada Rabu minggu lalu.
Ibu mangsa, Nurhaswaty Zamani, 43, berkata, anaknya, Adryz Adrian Azwan, 15, terpaksa menerima rawatan di hospital dan diberitahu berisiko kehilangan pendengaran di telinga kanan anak tunggalnya itu.
“Saya terkejut apabila anak mengadu dibuli dan mengalami kesakitan terutama di telinga. Selain terjejas pendengaran, dia mengalami trauma serius dan banyak berkurung di dalam biliknya.
“Apabila ditanya, dia mendakwa ditumbuk seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dari belakang hingga terjatuh di sekolah itu, kira-kira pukul 8.30 pagi hari sama. Terkejut dengan perkara itu, saya dan suami pergi menemui pihak sekolah sebelum membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Jelas suri rumah itu, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam dan menerima rawatan lanjut di wad selama tiga hari.
“Selain cedera di leher dan tengkuk, doktor mengesahkan dia mungkin hilang pendengaran tahap sederhana di telinga kanan dan memerlukan pemeriksaan susulan. Anak saya yang aktif bersukan kini mengalami gangguan emosi teruk sehingga kurang selera makan dan bercakap serta banyak menyendiri,” luahnya.
Tambah Nurhaswaty, dia berharap pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan polis menjalankan siasatan terperinci sekali gus mengambil tindakan tegas ke atas pihak terlibat.
“Namun, sehingga kini, keluarga pelajar itu juga belum menemui kami untuk memohon maaf mengenai kejadian berkenaan. Perkara ini dianggap serius kerana melibatkan kes buli yang boleh menjejaskan masa depan dan keselamatan pelajar,” ujarnya.
Sementara itu, Penasihat undang-undang yang mewakili keluarga mangsa, Datuk Azar Irwan Arifin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terlibat.
“Tindakan sivil itu antaranya meliputi kos ganti rugi am, teladan dan perubatan yang dialami mangsa. Kami dimaklumkan siasatan kes itu sedang dijalankan polis mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera serta ugutan jenayah,” jelasnya. – UTUSAN
The post Pelajar tingkatan tiga dakwa berisiko pekak akibat dibuli appeared first on Utusan Malaysia.






