Eksport Malaysia ke AS melonjak 107.8% di sebalik ketidaktentuan dasar perdagangan - BIMB Research

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 4:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport Malaysia ke AS melonjak 107.8% di sebalik ketidaktentuan dasar perdagangan - BIMB Research Image from: Eksport Malaysia ke AS melonjak 107.8% di sebalik ketidaktentuan dasar perdagangan - BIMB Research sarah20/11/2026 - 16:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak 107.8% tahun ke tahun pada Oktober 2026, didorong permintaan kukuh terhadap produk kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, meskipun ketidaktentuan dasar perdagangan Washington terus membayangi prospek perdagangan global.

 

BIMB Securities Research (BIMB Research) berkata, lonjakan itu mengukuhkan kedudukan AS sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia, namun sebahagian peningkatan tersebut mungkin berpunca daripada tindakan syarikat mempercepatkan penghantaran tempahan bagi mengelakkan kemungkinan perubahan dasar perdagangan, teknologi dan perindustrian AS.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ketidaktentuan berhubung hala tuju dasar AS susulan pilihan raya pertengahan penggal negara berkenaan berkemungkinan mendorong syarikat mendapatkan dan memenuhi tempahan lebih awal, sekali gus menyumbang kepada peningkatan luar biasa eksport Malaysia.

 

"Lonjakan eksport Oktober menunjukkan permintaan terhadap produk berkaitan AI masih kukuh, namun sebahagian peningkatan itu mungkin mencerminkan tindakan syarikat mempercepatkan tempahan berikutan ketidaktentuan dasar AS pada masa depan," menurut BIMB Research dalam nota penyelidikannya.

 

Eksport keseluruhan melonjak 61.1%

Eksport keseluruhan Malaysia meningkat 61.1% tahun ke tahun kepada RM239.2 bilion pada Oktober, kadar pertumbuhan terpantas dalam tempoh lebih lima tahun, sekali gus mengatasi jangkaan Bloomberg sebanyak 48.8%, manakala lebihan dagangan meningkat kepada RM41.8 bilion berbanding RM34.4 bilion pada September.

 

Pertumbuhan itu diterajui sektor pembuatan yang mencatat peningkatan eksport sebanyak 68.2%, khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E) yang melonjak 87.2%, selain produk petroleum (92.9%) serta mesin dan peralatan (45.9%), disokong permintaan terhadap cip semikonduktor, pelayan AI dan pembangunan pusat data.

 

Selain AS, eksport Malaysia ke India meningkat 117.3%, diikuti Indonesia (91.6%), Singapura (54.9%), Vietnam (44%), China (34.8%) dan Jepun (30%), mencerminkan permintaan yang masih kukuh daripada pasaran utama dunia.

 

Pertumbuhan eksport dijangka perlahan pada 2027

Bagaimanapun, BIMB Research menjangkakan pertumbuhan eksport barangan Malaysia menyederhana kepada 11.5% pada 2027 selepas peningkatan luar biasa tahun ini, berikutan kesan asas perbandingan yang tinggi, kenaikan kadar faedah dan kemungkinan dasar fiskal lebih ketat di AS serta ekonomi utama lain.

 

Firma itu turut menjangkakan momentum perdagangan yang kukuh mampu menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melebihi 5% pada suku keempat 2026, dengan purata lebihan dagangan bulanan bagi Ogos hingga Oktober meningkat kepada RM34.7 bilion berbanding RM28.3 bilion pada suku ketiga.

Walaupun pertumbuhan eksport dijangka lebih sederhana tahun depan, BIMB Research berpandangan permintaan terhadap infrastruktur AI, pengkomputeran awan dan pelaburan pusat data akan terus menyokong industri E&E Malaysia, manakala import diunjurkan berkembang 10.6% hasil peningkatan permintaan terhadap mesin, peralatan elektrik dan barangan modal.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved