Syarat karbon baharu cabar daya saing eksport Malaysia - Fadillah

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 4:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarat karbon baharu cabar daya saing eksport Malaysia - Fadillah Image from: Syarat karbon baharu cabar daya saing eksport Malaysia - Fadillah sarah19/11/2026 - 16:27 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Pengeksport Malaysia berdepan cabaran baharu apabila prestasi pelepasan karbon semakin menjadi penentu daya saing dan akses kepada pasaran antarabangsa, susulan pelaksanaan langkah berkaitan karbon yang mula mengubah landskap perdagangan global.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketelusan dalam pelaporan pelepasan karbon kini semakin menjadi keperluan pasaran, manakala langkah mengenakan caj karbon terhadap barangan yang merentasi sempadan turut mempengaruhi perdagangan antarabangsa.

 

“Bagi kebanyakan pengeksport Malaysia, prestasi karbon akan menentukan daya saing dan akses kepada pasaran,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Modal Masa Depan Kelestarian MBSB 2026 di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa peralihan kepada ekonomi rendah karbon bukan lagi sekadar memenuhi sasaran alam sekitar, sebaliknya menjadi keperluan ekonomi bagi memastikan perniagaan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran global.

 

Biojisim buka peluang ekonomi baharu

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Malaysia menghasilkan kira-kira 60 juta tan biojisim setiap tahun, yang berpotensi dimanfaatkan untuk membangunkan produk tenaga boleh diperbaharui, aktiviti penyingkiran karbon dan sumber pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar.

 

Menurutnya, potensi tersebut boleh direalisasikan menerusi penggunaan teknologi yang sesuai, pembiayaan dan kerjasama strategik, sekali gus membolehkan bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa ditukar menjadi sumber ekonomi bernilai.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia menghasilkan hampir 39,000 tan sisa setiap hari, sekali gus memperlihatkan keperluan memperkukuh pengurusan sumber dan meneroka peluang perniagaan berasaskan penggunaan semula bahan buangan.

 

Pembiayaan bantu syarikat hadapi peralihan

Fadillah berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM17 bilion bagi pelaburan dan inisiatif pembiayaan menerusi Belanjawan 2027, termasuk RM15 bilion untuk memperkukuh grid elektrik negara, RM1 bilion bagi projek penyimpanan tenaga dan hibrid serta RM1 bilion melalui Dana Iklim+ Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

 

Pada majlis sama, beliau melancarkan Program Pembiayaan Kelebihan Peralihan MBSB bernilai RM500 juta bagi membantu perniagaan membiayai perubahan operasi ke arah penggunaan tenaga dan sumber yang lebih cekap, selain platform penasihatan ekonomi kitaran Islam TRACE yang dibangunkan MBSB Bank bersama Universiti INCEIF.

 

Beliau menegaskan bahawa institusi kewangan perlu membantu syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melaksanakan perubahan tersebut kerana kejayaan peralihan ekonomi negara bukan hanya bergantung kepada dasar dan jumlah pembiayaan yang diumumkan, tetapi juga kepada projek yang disiapkan, pengurangan pelepasan karbon serta peluang pekerjaan yang diwujudkan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved