Maritim Malaysia siasat punca kehilangan tujuh pemancing

15 Sep 2026 • 2:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Punca kehilangan pemancing

KLANG: Punca kehilangan tujuh pemancing sekawan yang hilang selepas turun ke laut pada Ahad pagi lalu sedang dikenal pasti selepas empat daripada mereka dijumpai selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, keempat-empat mangsa itu ditemukan oleh nelayan tempatan dalam keadaan berapung di perairan Sekinchan.

“Setakat tengah hari tadi, empat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan dalam keadaan berapung di perairan Sekinchan dan masih disiasat punca kejadian.

“Bagaimanapun semua aset terlibat terus mempergiatkan usaha pencarian dan menyelamat tiga mangsa yang masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, empat pemancing termasuk seorang tekong yang ditemukan selamat dikenal pasti identitinya dan dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin di Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun keadaan jerebu menghadkan jarak penglihatan menyukarkan operasi mencari dan menyelamat SAR.

Mereka ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, dan tekong, Zulfilkalnain Awang, 47, yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing bersama tiga rakannya pada Ahad lalu.

Kesemua mereka didakwa ditemui oleh nelayan pukat tunda sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Penemuan tersebut kemudian dimaklumkan kepada ahli keluarga yang sedang menunggu di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi SAR di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa selepas identiti mereka dikenal pasti.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting untuk menerima rawatan.

Abdul Muhaimin memberitahu, pihaknya memperluaskan sektor pencarian di laut kepada 203.5 batu nautika persegi, manakala sektor pencarian di udara seluas 764 batu nautika persegi.

“Operasi hari kedua melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia serta polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua bot nelayan tempatan.

“Maritim Malaysia Selangor akan terus menyelaras usaha pencarian bersama itu bagi memastikan operasi dilaksanakan secara menyeluruh sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan,” ujarnya.

Katanya lagi, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia Selangor di talian 013-6606652 bagi membantu usaha mencari dan menyelamat. – UTUSAN

The post Maritim Malaysia siasat punca kehilangan tujuh pemancing appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved