
KULAI: Seorang wanita tempatan dan seorang pekerja asing warganegara Nepal ditahan susulan pemasangan bendera Malaysia dan bendera negeri Johor dalam keadaan terbalik di sebuah kilang di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua suspek yang berusia 48 dan 34 tahun itu ditahan, semalam.
“Polis menemukan hantaran video tular memaparkan sebuah kilang memasang bendera Malaysia dan bendera Johor dalam keadaan terbalik, semalam. Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Sehubungan itu, seorang warganegara Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang wanita tempatan dipercayai individu yang mengarahkan pemasangan bendera berkenaan ditahan bermula pukul 10.45 pagi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, pihaknya turut merampas sehelai bendera Malaysia, sehelai bendera Johor dan sehelai kertas jadual kerja premis berkenaan.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala ujian urin turut mendapati mereka bebas penyalahgunaan dadah.
“Kedua-duanya direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang Dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017); Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan; Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Seng Lee turut berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu ini melalui mana-mana platform media sosial.-UTUSAN
The post Pasang bendera terbalik, dua individu ditahan polis appeared first on Utusan Malaysia.






