
KOTA TINGGI, 2 SEPT: Empat remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada 8.19 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar digerakkan ke lokasi.
“Maklumat awal daripada orang awam terdapat enam mangsa lemas semasa melakukan aktiviti mandi-manda di pantai.
Dua daripada mangsa berjaya diselamatkan orang awam pada 7.45 pagi sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Bomba memakluman empat mangsa yang masih belum ditemukan dikenali sebagai Alif Taqiudin, Mohd Haiman, Adib Rizqi dan Thaqif Rayyan.
Difahamkan kesemua mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 remaja yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak 6.30 petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan setakat 10.40 pagi ini.






