KOTA TINGGI – Hasrat untuk menyelamatkan seorang rakan yang lemas bertukar detik ngeri apabila empat remaja lain dilaporkan dihanyutkan arus dalam kejadian di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini pada Rabu.
Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku ketika kumpulan mereka seramai 16 orang sedang mandi-manda di pesisir pantai selepas berkhemah di kawasan berkenaan sejak Selasa.
Katanya, insiden berlaku secara tiba-tiba ketika mereka sedang mandi-manda di pesisir pantai sebelum Thaqif, hanyut ke kawasan lebih dalam.
**media[3634174]**
ARTIKEL BERKAITAN: Empat remaja dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai
"Pagi tadi kami pergi berendam sekejap. Kemudian Thaqif pergi mandi di kawasan yang agak jauh sikit daripada kami. Apabila kami panggil, dia seperti tidak mendengar.
"Kami biarkan sahaja, tetapi bila kami pandang semula, kami lihat dia sudah terkapai-kapai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
**media[3634175]**
Menyedari Thaqif yang tidak pandai berenang, beberapa rakan lain cuba memberikan bantuan, namun cuaca dan arus laut menyebabkan situasi tidak dapat dikawal.
**media[3634176]**
Katanya, perkhemahan itu merupakan pertama kali dianjurkan berbanding pertemuan kecil sebelum ini.
"Kami amat berharap agar urusan pencarian dipermudahkan dan semua rakan yang masih hilang dapat ditemui dengan cepat," katanya.






