PEKAN - Enam pelajar berusia 13 hingga 16 tahun ditahan kerana disyaki merusuh dan mencederakan pelajar lain dalam kejadian berhampiran Pejabat Majlis Ugama Islam Pahang, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 13 tahun cedera di pipi kanan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku selepas mangsa pergi ke sebuah pondok di lokasi itu untuk berjumpa dengan salah seorang pelajar (yang ditahan) berhubung isu hutang.
Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum pelajar berusia 14 tahun itu bertindak menolak, menumbuk dan menendang mangsa.
"Beberapa lagi rakan remaja terbabit yang berada di tempat kejadian turut terlibat memukul mangsa.
"Kejadian disaksikan beberapa individu dan dirakam," katanya.
Mohd Zaidi berkata, susulan kejadian, mangsa menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Pekan.
"Bertindak atas maklumat, enam pelajar terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan kira-kira jam 1.30 pagi pada Rabu untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jamin polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 147/507D Kanun Keseksaan," ujarnya.
Video kejadian berdurasi 1 minit 12 saat itu sebelum ini tular selepas dikongsi di laman sosial.






