
ALOR GAJAH – Selepas enam tahun hidup menumpang sebuah bilik kecil di rumah adiknya, seorang bekas anggota Rejimen Askar Melayu akhirnya mampu hidup mandiri apabila menerima rumah baharu menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ishak Alin, 66, berkata, rumah yang dibina di atas tanah pusaka keluarganya itu amat bermakna kerana dia kini mempunyai kediaman miliknya sendiri.
“Saya sangat gembira mendapat rumah ini. Selama ini saya hanya menumpang sebuah bilik kecil di rumah adik yang terletak bersebelahan.
“Memang saya tidak menyangka akan mendapat rumah sendiri, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Bulat di sini, hari ini. Ishak merupakan penerima rumah bina baharu di bawah Program Melaka Rumahku Syurgaku kendalian Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Penyerahan rumah itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Mengimbau kehidupannya, Ishak berkata, dia pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu, namun tidak menerima pencen selepas menamatkan perkhidmatan lebih awal.
Katanya, sejak kematian isterinya kira-kira enam tahun lalu, dia hanya hidup sendirian dan menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600, selain bantuan diberikan oleh anak-anaknya setiap bulan. – KOSMO! ONLINE
The post Enam tahun hidup menumpang, bekas askar terima rumah baharu appeared first on Kosmo Digital.






