Ekosistem bandar pintar perkukuh pendapatan berulang I-Berhad

Business & FinanceProperty
6 Aug 2026 • 12:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekosistem bandar pintar perkukuh pendapatan berulang I-Berhad Image from: Ekosistem bandar pintar perkukuh pendapatan berulang I-Berhad hamden06/08/2026 - 12:59 Central i-City Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

SHAH ALAM 6 Ogos - I-Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM27.0 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), disokong peningkatan sumbangan segmen pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.

 

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata prestasi tersebut dicapai walaupun pasaran pembangunan hartanah kekal mencabar serta pengguna mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan.

 

I-Berhad berkata, keputusan tersebut mencerminkan kekuatan model perniagaan pelbagai segmennya, selain menunjukkan kemajuan strategi jangka panjang kumpulan yang kini beralih ke arah pembangunan ekosistem bandar pintar berteraskan kecerdasan buatan (AI) menerusi konsep AI Living dan AI World.

 

Segmen Pembangunan Hartanah mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 17% kepada RM12.1 juta, dipacu margin lebih baik daripada jualan projek Twenty8 dan 8 Premier.

 

Sementara itu, segmen Pelaburan Hartanah kekal sebagai penyumbang utama pendapatan berulang kumpulan apabila keuntungan sebelum cukai meningkat 29% kepada RM13.0 juta.

 

Prestasi segmen berkenaan disokong kadar penghunian sekitar 96% di Mercu Maybank Corporate Tower, penghunian penuh di Block M Data Centre serta sumbangan stabil daripada Central i-City Mall.

 

Melangkah ke hadapan, strategi pertumbuhan jangka panjang I-Berhad disokong oleh baki nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM5 bilion dalam i-City.

 

Pembangunan baharu menerusi AI World, termasuk kediaman berkonsepkan AI Living, dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan masa hadapan selain memperkukuh asas pendapatan berulang kumpulan.

 

“Strategi kami kini bukan lagi sekadar membangunkan hartanah. Kami sedang membina ekosistem bandar bersepadu yang menggabungkan pendapatan pelaburan berulang, perniagaan destinasi serta pembangunan berteraskan AI yang saling memperkukuh antara satu sama lain," kata Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

 

Walaupun persekitaran pasaran jangka pendek kekal mencabar, I-Berhad optimis asas pendapatan yang lebih pelbagai, peningkatan pendapatan berulang serta strategi pembangunan berteraskan AI akan menyediakan platform kukuh untuk pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved