hamden14/08/2026 - 11:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Aliran pesakit Indonesia ke Malaysia dijangka terus kukuh tanpa tanda-tanda kelembapan, sekali gus memberi prospek positif kepada pemain hospital swasta seperti KPJ Healthcare Bhd dan IHH Healthcare Bhd, menurut Phillip Capital Research (Phillip Capital).
Firma penyelidikan itu berkata, kekurangan struktur dalam sistem penjagaan kesihatan Indonesia, ditambah kelebihan kos rawatan di Malaysia, dijangka terus mendorong rakyat negara jiran itu mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
Dalam analisis sektornya, firma itu melihat KPJ dan IHH kekal sebagai penerima manfaat utama daripada pertumbuhan pelancongan perubatan, dengan hasil pelancongan perubatan KPJ meningkat kira-kira 24% tahun ke tahun pada 1Q26 dan dijangka mengekalkan pertumbuhan dua digit sepanjang 2026.
Sementara itu, operasi IHH di Malaysia turut mencatat pertumbuhan dua digit, disokong prestasi hospital utama termasuk Island Hospital, yang menyaksikan sumbangan pesakit asing meningkat kepada kira-kira 15% daripada hasil.
Perkembangan itu dijangka terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi rawatan perubatan rentas sempadan, khususnya dalam kalangan pesakit Indonesia.
Industri pelancongan perubatan Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) lima tahun sebanyak 33% kepada RM3.4 bilion sepanjang 2020 hingga 2025.
Indonesia Pasaran Terbesar
Indonesia kekal sebagai pasaran sumber terbesar, menyumbang kira-kira 70% daripada jumlah ketibaan pelancong perubatan Malaysia pada 2025.
Lebih 970,000 pesakit Indonesia mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia pada tahun lalu, meningkat 23% berbanding 2024.
Aliran pesakit tersebut dijangka kekal kukuh berikutan kekangan kapasiti penjagaan kesihatan Indonesia, termasuk kepadatan katil hospital yang rendah, kekurangan pakar serta peningkatan permintaan terhadap rawatan kompleks.
Indonesia hanya mempunyai sekitar 0.2 pakar dan 0.5 doktor bagi setiap 1,000 penduduk, jauh lebih rendah berbanding Malaysia sebanyak 2.3 bagi setiap 1,000 penduduk.
Kekurangan pakar juga tertumpu di bandar-bandar utama, khususnya Jakarta dan Jawa, menyebabkan akses kepada rawatan khusus di wilayah lain kekal terhad.
Pada masa sama, peningkatan penyakit kronik terus menyokong permintaan terhadap rawatan khusus. Hipertensi misalnya menjejaskan kira-kira 23% penduduk Indonesia, manakala penyakit kardiovaskular menyumbang kira-kira 35% daripada jumlah kematian.
Walaupun Indonesia telah melonggarkan peraturan bagi membolehkan pakar asing berkhidmat di negara itu, sumbangan mereka dalam tempoh terdekat dijangka terhad berikutan keperluan pelesenan dan sekatan amalan sementara.
Kos Rendah
Dalam konteks Malaysia, kos rawatan yang lebih rendah berbanding beberapa destinasi lain turut menjadi kelebihan dalam menarik pesakit antarabangsa.
Selain faktor struktur tersebut, inisiatif kerajaan seperti Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 dijangka memberikan sokongan tambahan kepada permintaan penjagaan kesihatan rentas sempadan.
Pengembangan Pusat Kecemerlangan (CoE) oleh KPJ serta rangkaian pakar IHH yang luas turut dijangka meningkatkan keupayaan hospital swasta tempatan untuk memenuhi permintaan terhadap rawatan khusus dan pembedahan elektif.
Dari perspektif sektor, Phillip Capital mengekalkan pandangan Overweight terhadap sektor penjagaan kesihatan, disokong daya tahan pendapatan, permintaan rawatan yang berterusan serta pengembangan kapasiti bagi memenuhi peningkatan keperluan penjagaan kesihatan.
CoE di hospital swasta juga dijangka meningkatkan kecekapan klinikal serta hasil bagi setiap pesakit.
Antara pilihan utama sektor ialah IHH dengan saranan ‘BELI’ dan harga sasaran RM11.03, serta KPJ dengan saranan ‘BELI’ dan harga sasaran RM3.80.
Selain itu, Optimax diberi saranan ‘BELI’ dengan TP RM0.81, disokong pengembangan serantau dan penawaran premium, manakala UMediC turut diberi saranan ‘BELI’ dengan TP RM0.43, disokong pengembangan kapasiti pengeluaran. - DagangNews.com





