amree02/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept — United Asiapac Energy Berhad mencatatkan lonjakan positif pendapatan kira-kira 41.43% kepada sebanyak RM52.26 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mei 2026 (FYE26).
Perkembangan itu didorong oleh fokus berterusan terhadap projek-projek bernilai tinggi di Semenanjung Malaysia, menjelang penyenaraiannya di papan Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September 2026.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut masih berdepan cabaran kecairan aliran tunai bersih yang kritikal daripada aktiviti operasi dengan hanya memiliki RM76,000 berbanding sebanyak RM9.95 juta pada FYE25.
Selain itu United Asiapac Energy terlibat isu pertikaian undang-undang di mahkamah dengan keputusan kes saman Suit 454 dan Suit 590 diketahui pada 25 November 2026," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Pada masa sama, kumpulan itu turut berdepan masalah pengurangan bilangan medan hidrokarbon yang diservis, daripada sebanyak 43 medan pada FYE25 kepada cuma sejumlah 38 medan pada FY26.
Kumpulan namun berjaya menangani isu ini secara proaktif dengan mengalihkan tumpuan operasi kepada projek bernilai tinggi dan berjaya memaksimumkan pulangan hasil bagi setiap projek dilaksanakan.
Dari sudut prospek, keupayaan United Asiapac Energy dinilai cerah sebagai pakar rumusan intervensi telaga minyak, khususnya penyediaan perkhidmatan pancingan serta penyumbatan dan pengabaian (P&A).

"Perbelanjaan syarikat-syarikat minyak nasional dan antarabangsa di Malaysia bagi dua segmen ini diunjur melonjak daripada RM175.90 juta pada 2025 kepada RM445.20 juta menjelang 2029," jelasnya.
Keadaan ini mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) yang pesat iaitu 26.1%, dan turut disokong oleh aliran permintaan tinggi tenaga global secara mampan pada 2030.
Bagi merebut peluang ini, United Asiapac Energy giat merangka pelan perluasan perniagaan termasuk membeli peralatan baharu, menggaji ramai jurutera pakar, serta mengembangkan perkhidmatan ke Sabah.
Berdasarkan pecahan segmen perniagaan kumpulan bagi FYE26, penyediaan peralatan kekal menjadi penyumbang hasil terbesar syarikat iaitu kira-kira 82.07% atau bernilai sebanyak RM42.89 juta.
"Ini membuktikan model perniagaan berteraskan aset teknologi tinggi projek yang kritikal, manakala baki 17.93% atau RM9.37 juta pula dijana melalui segmen penyediaan tenaga kerja mahir," tambahnya.
Seiring dengan lonjakan hasil, keuntungan kasar (GP) tahunan United Asiapac Energy turut berkembang 101.82% kepada RM29.31 juta pada FYE26 didorong kadar penggunaan peralatan sendiri yang tinggi.
Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peralatan sewaan, sementara keuntungan selepas cukai (PAT) terkumpul bagi FY26 mencatatkan kenaikan 117.81% kepada RM15.49 juta. - DagangNews.com






