
PETALING JAYA – Pengguna jalan raya khususnya pengunjung acara Formula Satu (F1) di Sepang dinasihatkan merancang perjalanan hari ini susulan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat 8 yang dijadual melalui beberapa laluan sekitar Nilai, Bandar Enstek, Dengkil dan Putrajaya.
Perkara itu mencuri perhatian selepas seorang pengguna Threads, @presintrunner memaklumkan laluan perlumbaan dari Muar ke Putrajaya berkemungkinan bertembung dengan pergerakan ribuan pengunjung menuju atau meninggalkan kawasan Sepang.
“Kalau rasa hari ini pergi Sepang F1 dah cukup payah bayangkan esok LTdL Stage 8 dari Muar ke Putrajaya akan lalu jalan-jalan di Nilai, Bandar Enstek, Dengkil dan Putrajaya sekitar pukul 2 petang.
“Harap ambil perhatian ya pengunjung F1 sekalian,” tulisnya menerusi hantaran yang meraih hampir 30,000 tontonan.
Berdasarkan hebahan penutupan laluan LTdL 2026 yang turut dikongsikan, Peringkat 8 perlumbaan berkenaan berlangsung dari Muar ke Putrajaya dengan beberapa lokasi dijangka dilalui secara berperingkat bermula pukul 11 pagi.
Kumpulan pelumba dijangka bermula di Dataran Tanjung Emas, Muar sebelum melalui Scientex Bandar Jasin, Kampung Ayer Panas, Durian Tunggal, Simpang Ampat, Rembau, Senawang dan Seremban.
Rombongan perlumbaan kemudian dijangka tiba di Pajam sekitar pukul 2.15 petang, diikuti Nilai pada 2.25 petang, Jenderam Hulu (2.40 petang), Dengkil Bypass (2.55 petang) sebelum sampai di Perbadanan Putrajaya sekitar 3.10 petang.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman memaklumkan enam jalan utama di daerah itu akan ditutup secara berperingkat antara pukul 1.30 hingga 2.30 petang hari ini bagi memberi laluan kepada perlumbaan peringkat akhir LTdL.
Laluan terlibat ialah Jalan Labohan Dagang-Nilai, Jalan Jenderam-Salak, Jalan Banting-Semenyih, lampu isyarat Simpang Empat Dengkil, Jalan Dengkil-Putrajaya Bypass dan Jalan Persiaran Selatan.
Peringkat akhir LTdL dari Muar ke Putrajaya akan memasuki kawasan Sepang sejauh 24.5 kilometer dengan penyertaan 120 pelumba.
Pada masa sama, polis turut menetapkan lima lokasi saringan bagi kenderaan yang menuju ke SIC sempena perlumbaan F1, sekali gus menyebabkan pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal. – KOSMO! ONLINE
The post F1 belum reda, LTdL pula lalu Nilai, Dengkil hari ini appeared first on Kosmo Online.






