
SERDANG: Atlet olahraga Pahang, Shaikh Ahmad Fahmi Shaikh Ahmad Fauzi menebus kekecewaan apabila meraih emas pertama dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dalam acara 800 meter (m) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu mencatat masa 1 minit 54.53 saat (s) untuk muncul juara menewaskan pelari Johor, M. Poven Kumar di tempat kedua dengan catatan 1:55.12s manakala Alaziz dari Sabah meraih gangsa (1:55.15s).
Kejayaan itu cukup bermakna buat Fahmi yang sebelum ini sekadar menduduki tempat keempat keseluruhan dalam acara 3,000m lari berhalangan, Selasa lalu.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Fahmi berkata, dia gembira kerana berjaya mengetepikan cabaran pelari lebih berpengalaman termasuk Poven Kumar dan rakan sepasukannya, S. Sri Murugan.
“Memang ada tekanan sebab perlu berlawan dengan senior yang lebih berpengalaman. Saya berdebar sampai susah hendak tidur, tetapi saya percaya kepada jurulatih dan diri sendiri.
“Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan ketika perlumbaan tadi, saya fikir saya mahu menang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi mengakui kejayaan tersebut hadir hasil pengorbanan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, selain menjalani rutin latihan secara konsisten.
“Setiap pagi pukul 6.00 pagi saya sudah turun berlatih sehingga 8.30 pagi sebelum masuk kelas. Petang pula saya sambung latihan pada pukul 4.00 petang.
“Dari segi pemakanan pula, saya tidak minum ais, mengurangkan makanan berminyak dan banyak mengambil karbohidrat serta protein untuk memastikan keadaan tubuh berada pada tahap optimum,” katanya lagi. – UTUSAN
The post Fahm cipta kejutan, raih emas 800m appeared first on Utusan Malaysia.






