JOHOR BAHRU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menawarkan pentas siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik bagi membincangkan hala tuju negeri sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Fahmi, RTM bersedia menjadi platform berkecuali untuk menghimpunkan kedua-dua pemimpin itu dalam satu sesi dialog yang memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri idea, perancangan dan visi mereka terhadap masa depan Johor.
Beliau berkata, sekiranya istilah debat menjadi isu, program tersebut boleh diadakan dalam format dialog yang lebih berhemah tanpa menjejaskan matlamat untuk membincangkan isu-isu berkaitan negeri.
“Saya sedia menyediakan pentas di RTM TV1 untuk Dr. Maszlee (calon PH Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa) dan Datuk Onn Hafiz berdebat. Ataupun kalau tidak mahu berdebat, kita berdialog. Kita boleh berdialog dengan beradab.
“Kita letakkan masa 9 malam dan kita boleh pilih bila-bila masa, hari yang mana pun. Kita boleh mengusahakannya di Johor Bahru atau di mana-mana lokasi yang sesuai. Kita boleh namakan program itu sebagai Dialog Hala Tuju Negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal di sebuah restoran di sini, malam ini.
Fahmi turut memaklumkan RTM bersedia mengadakan program itu pada waktu perdana sekitar pukul 9 malam mengikut tarikh yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Mengulas pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa PH perlu menamakan calon Menteri Besar Johor sebelum menggesa Onn Hafiz menyertai debat, Fahmi menyifatkan kenyataan itu sekadar usaha mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
Katanya, sebagai pemimpin yang sering dikaitkan sebagai calon Menteri Besar Johor, Onn Hafiz wajar bersedia berdialog dengan mana-mana pihak termasuk mereka yang mempunyai pandangan berbeza.
“Saya percaya Onn Hafiz dia tidak akan buat drama Hollywood. Saya percaya Onn Hafiz akan memberanikan diri untuk berdialog dengan Dr. Maszlee.
“Onn Hafiz saya tengok banyak benda dia tak beranilah. Dia tak berani untuk berdepan apabila dijemput dengan baik oleh Dr. Maszlee sehingga Dr. Maszlee membuka peluang kepada 41 anak muda untuk berdebat dengan beliau,” ujarnya.
Fahmi berkata, ruang dialog seperti itu bukan sahaja memberi peluang kepada kedua-dua tokoh menjelaskan dasar dan perancangan masing-masing, malah membolehkan rakyat membuat penilaian yang lebih menyeluruh menjelang PRN Johor.






