Keuntungan syarikat perladangan dijangka meningkat, pengeluaran buah sawit naik 18.2% - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 9:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan syarikat perladangan dijangka meningkat, pengeluaran buah sawit naik 18.2% - Penganalisis Image from: Keuntungan syarikat perladangan dijangka meningkat, pengeluaran buah sawit naik 18.2% - Penganalisis sarah11/11/2026 - 09:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Keuntungan syarikat perladangan Malaysia dijangka meningkat pada suku ketiga 2026, disokong pertambahan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 18.2% berbanding suku sebelumnya, sekali gus mencerminkan prestasi operasi yang semakin kukuh dalam sektor berkenaan.

 

RHB Investment Bank (RHB Research) berkata, peningkatan pengeluaran itu melibatkan syarikat perladangan di bawah liputannya, dengan jumlah BTS yang lebih tinggi dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan dan keuntungan meskipun industri masih berdepan cabaran kos operasi.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prestasi awal keputusan kewangan syarikat perladangan serantau turut menunjukkan perkembangan menggalakkan apabila empat daripada lima syarikat yang telah mengumumkan keputusan mencatatkan prestasi mengatasi jangkaan, termasuk SD Guthrie Berhad.

 

Prospek tersebut turut disokong peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia sebanyak 5.4% kepada 2.15 juta tan pada Oktober 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, berdasarkan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Sabah terajui peningkatan pengeluaran sawit

MBSB Research berkata, Sabah mencatatkan pertumbuhan pengeluaran tahunan tertinggi sebanyak 10.1%, diikuti Sarawak sebanyak 6% dan Semenanjung Malaysia sebanyak 3.2%, disokong keadaan cuaca yang menggalakkan aktiviti penuaian.

 

Firma itu berkata, purata hasil BTS negara turut meningkat 4.4% kepada 1.88 tan sehektar, manakala kadar perahan minyak bertambah kepada 20.34% berbanding 20.04% pada Oktober tahun lalu, mencerminkan peningkatan produktiviti ladang dan kecekapan pemprosesan.

 

BIMB Securities Research pula melaporkan Sabah menyumbang 89% daripada keseluruhan peningkatan pengeluaran MSM negara pada Oktober berbanding September, apabila pengeluaran negeri itu meningkat 7.2% kepada 490,500 tan.

 

Permintaan eksport dan biodiesel sokong prospek 2027

Selain pengeluaran yang lebih kukuh, eksport minyak sawit Malaysia melonjak 55.7% kepada 1.71 juta tan pada Oktober, menamatkan penyusutan selama dua bulan berturut-turut berikutan peningkatan pembelian dari India dan Kesatuan Eropah (EU).

 

BIMB Securities berkata, penghantaran ke India meningkat 146.4% kepada 556,800 tan, manakala eksport ke EU bertambah 49.8% kepada 290,100 tan, sekali gus menunjukkan pemulihan permintaan daripada pasaran utama.

 

Firma itu turut menjangkakan pertumbuhan penggunaan biodiesel global, permintaan minyak sayuran dan kemungkinan gangguan pengeluaran akibat cuaca kering berkaitan El Niño, khususnya di Indonesia, akan menyokong prospek industri sawit pada 2027.

 

Stok tinggi kekal cabaran industri

Bagaimanapun, MBSB Research berkata, stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 3.62 juta tan pada Oktober, naik 44.4% berbanding tahun sebelumnya, apabila pengeluaran yang kukuh terus mengatasi kadar penggunaan, sekali gus mengehadkan potensi pemulihan pasaran dalam tempoh terdekat.

 

RHB Research pula menjangkakan paras stok mula berkurangan pada suku pertama 2027 apabila pengeluaran memasuki tempoh bermusim yang lebih rendah, manakala BIMB Securities berpandangan eksport berterusan dan peningkatan permintaan biodiesel berpotensi membantu menstabilkan bekalan.

 

Sehubungan itu, RHB Research dan BIMB Securities mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan, manakala MBSB Research mengekalkan pandangan 'neutral' berikutan paras stok tinggi dan tekanan kos. Ketiga-tiga firma turut mengekalkan unjuran purata harga MSM sebanyak RM4,400 satu tan bagi 2026.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved