sarah29/10/2026 - 17:29 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Syarikat pembinaan SLGC Berhad (SLGC) memperoleh kontrak bernilai RM50.24 juta bagi membina kilang perindustrian berserta kemudahan infrastruktur berkaitan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SLGC berkata, anak syarikat milik penuhnya, SLG Construction Sdn Bhd, menerima surat anugerah (LOA) daripada ALH Construction Sdn Bhd pada 29 Oktober 2026 bagi melaksanakan projek berkenaan.
Kontrak itu melibatkan kerja reka bentuk dan pembinaan kilang perindustrian jenis bangunan berasingan di Lot 2465, Mukim Telok Panglima Garang, termasuk penyediaan kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
Menurut SLGC, nilai kontrak ditetapkan pada RM50.24 juta berdasarkan skop kerja, reka bentuk dan spesifikasi yang dipersetujui, tertakluk kepada pelarasan yang dibenarkan dalam perjanjian.
Skop projek merangkumi kerja kejuruteraan, reka bentuk, pembelian bahan dan peralatan, pembinaan, pemasangan, pengujian serta penyerahan bangunan yang telah siap.
SLG Construction turut bertanggungjawab menguruskan permohonan dan kelulusan berkaitan yang diperuntukkan kepadanya di bawah kontrak tersebut.
Projek berkenaan dijadualkan mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan, bermula dari tarikh permulaan kerja yang akan ditetapkan menerusi surat arahan rasmi oleh ALH Construction.
SLGC berkata, kontrak itu dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya, tanpa menjejaskan modal saham atau struktur pemegang saham syarikat.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek tertakluk kepada beberapa risiko, termasuk ketersediaan pekerja mahir dan bahan binaan, perubahan harga bahan serta keperluan kawal selia.
Lembaga pengarah SLGC berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, manakala tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.- DagangNews.com






