Focus Point raih manfaat daripada pembukaan cawangan baharu di Sabah dan Sarawak - HLIB

09/09/2025 - 10:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 9 Sept - Focus Point Holdings Berhad berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan perbelanjaan pengguna melalui kekuatan ekuiti jenama serta pengembangan rangkaian perniagaan runcit optikalnya, selain daripada skala perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang semakin berkembang dalam segmen makanan dan minuman (F&B).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan, perniagaan optikal Focus Point bakal mendapat manfaat daripada pengembangan kedai di kawasan yang kurang diliputi di Sabah dan Sarawak, serta daripada peningkatan permintaan berikutan larangan jualan dalam talian bagi peranti optikal dan kanta lekap.
Pada masa ini, kanta lekap menyumbang kira-kira 18% daripada hasil segmen optikal Focus Point.
Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), pihak pengurusan Focus Point menyasarkan pembukaan 10 cawangan baharu di lokasi seperti Karamunsing, Bintulu dan Miri, dengan potensi untuk melebihi sasaran ini.
Dua cawangan baharu dibuka pada 2QFY25, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 203 buah.
Firma penyelidikan itu berkata usaha pemasaran syarikat, termasuk kempen 360° Apec dan kerja-kerja naik taraf kedai yang sedang dijalankan, terus memperkukuh kepercayaan pelanggan serta meningkatkan kadar penukaran jualan.
Selain itu, Focus Point juga mula mengembangkan perniagaan F&B B2B dan baru-baru ini berjaya mendapatkan kontrak untuk membekalkan kepada rangkaian pasar raya dengan 30 cawangan serta sebuah rangkaian kedai serbaneka utama, dengan penghantaran bermula pada bulan September.
“Rundingan sedang dijalankan dengan beberapa pelanggan berpotensi besar, termasuk rangkaian kopi nasional. Jika berjaya dimeterai, kami menjangkakan peningkatan bermakna dalam tahap penggunaan fasiliti CK2 serta lonjakan margin bagi segmen ini.
"Pihak pengurusan melihat B2B sebagai tonggak pertumbuhan seterusnya, manakala jualan runcit dijangka kekal berdaya tahan,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan Focus Point juga kekal memberi tumpuan kepada penambahbaikan kecekapan kos dan pemacu skala melalui pengembangan B2B. - DagangNews.com
standard
