
CYBERJAYA, 1 NOV: Fenomena fear of missing out (FOMO) dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) mampu menjadi dorongan positif untuk mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan.
Peserta Selangor Marathon (SELMAR) 2026, Muhammad Haziq Roswaidi, 20, berkata trend acara larian yang semakin mendapat perhatian turut menarik minat golongan muda mencuba pengalaman baharu.
“FOMO dalam larian bagi saya perkara yang bagus kerana bukan sahaja memberi pengalaman baharu malah dapat membantu menyihatkan tubuh badan dan mencergaskan minda.
“Sebelum menyertai, saya akan tengok dahulu reka bentuk baju, pingat dan laluan yang ditawarkan. Laluan SELMAR 2026 hari ini agak mencabar kerana banyak mendaki bukit tetapi seronok dan memberi pengalaman baharu,” katanya kepada Media Selangor.

Muhammad Haziq yang menyertai kategori 21 kilometer (km) berkata SELMAR 2026 merupakan larian separuh maraton keduanya tahun ini selepas mendapat maklumat mengenai acara itu menerusi Instagram serta ajakan rakan.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Muhammad Fadzilkhan Mohamed Siddiq, 20, berkata media sosial seperti TikTok turut menjadi antara medium yang mendorong golongan muda menyertai acara larian.
Beliau berkata tanggapan negatif terhadap budaya FOMO dalam kalangan Gen Z tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang buruk sekiranya ia mendorong golongan itu melakukan perkara positif dan memberi manfaat kepada diri.
“Bagi saya, FOMO untuk perkara yang baik patut diteruskan. Memang kita tidak boleh lari daripada stigma terhadap Gen Z terutama di media sosial tetapi yang penting kita mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan.
“Kalau FOMO untuk perkara yang baik, teruskan. Kita boleh cuba dahulu, buat latihan dan ikut minat masing-masing. Yang penting, ia membawa manfaat dan mendorong kita untuk kekal aktif,” katanya.

SELMAR 2026 berlangsung di Persiaran Flora di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 5,826 penyertaan termasuk 42 peserta antarabangsa dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Afrika, Perancis, Vietnam dan Indonesia.
Acara itu menawarkan empat kategori larian iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km selain membuka ruang penyertaan kepada kanak-kanak OKU yang terlantar dan menggunakan kerusi roda khas bersama ibu bapa.




