

MELAKA: Pendekatan politik yang digunakan di peringkat Persekutuan tidak boleh diterapkan secara bulat-bulat di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai konteks politik berbeza yang perlu difahami sebelum sesuatu strategi dilaksanakan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Woo Wai King berkata, politik setiap negeri mempunyai konteksnya sendiri.
Katanya, seperti Johor yang mempunyai sejarah politik, struktur sosial, hubungan kekeluargaan, jaringan komuniti dan sentimen kenegerian yang tersendiri.
“Sebagai anak Johor, saya mahu tekankan perkara ini. Kita tidak boleh membawa satu formula politik yang sama dari Putrajaya ke Johor, kemudian berharap rakyat Johor akan menerimanya dengan cara yang sama.
“Politik di sini masih banyak dipengaruhi oleh apa yang boleh kita sebut sebagai politik parokial, politik yang sangat dekat dengan identiti setempat, hubungan komuniti, keluarga, kawasan dan siapa yang benar-benar dikenali di akar umbi,” katanya ketika sesi perbahasan Kongres Nasional AMK.
Tambah Wai King, kekalahan yang dialami parti dalam pilihan raya sebelum ini perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki pendekatan menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, parti tidak boleh mengharapkan rakyat memberikan peluang kedua hanya melalui retorik, sebaliknya perlu membina semula keyakinan melalui tindakan dan pendekatan yang lebih dekat dengan kehendak pengundi.
“Kita tidak boleh mengubah keputusan yang telah berlaku. Tetapi kita boleh mengubah cara kita menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Kita tidak boleh memadam kekalahan. Tetapi kita boleh memastikan kekalahan itu menjadi guru kita.
“Malah kita tidak boleh meminta rakyat memberi kita peluang kedua hanya dengan kata-kata. Kita mesti membina sebab untuk rakyat memberikan peluang kedua itu,” katanya. – UTUSAN
The post Formula Putrajaya tidak boleh dibawa ke negeri appeared first on Utusan Malaysia.






