
BANGKOK – Sebuah bar di Thailand menerima kecaman orang ramai kerana mencukur kepala seorang wanita yang gagal membayar bil mencecah 60,000 baht (RM7,315), lapor portal berita Thaiger.
Kejadian berlaku di sebuah bar di Pinklao, Bangkok, baru-baru ini. Ia mula tular selepas seorang aktivis sosial bernama Chalida Phalamat berkongsi butiran kes di platform TikTok.
Menurut Phalamat, dia diberitahu oleh pihak bar bahawa wanita terbabit tidak mampu membuat bayaran selepas mengumpul tunggakan bil hampir 60,000 baht.
Selain menggunakan kad pengenalan palsu untuk masuk ke dalam bar, dia juga pernah meninggalkan premis lain tanpa membuat pembayaran.
Mereka kemudian meminta wanita itu menandatangani perjanjian yang menyatakan persetujuan untuk memotong dan mencukur rambutnya pada harga 3,000 baht (RM366), dengan jumlah tersebut ditolak daripada tunggakan bil.
Chalida mempersoalkan mengapa pihak bar memilih untuk mencukur kepala berbanding membuat laporan polis.
Pengurus bar tampil menjelaskan bahawa rambut tersebut telah diserahkan kepada salah seorang pekerjanya untuk tujuan derma, namun lokasi atau penerima sumbangan tersebut tidak diperincikan. – AGENSI
The post Gagal bayar bil lebih RM7,000, kepala wanita dicukur appeared first on Kosmo Digital.





