sarah16/11/2026 - 10:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) dijangka meningkatkan jumlah jualan sarung tangan sebanyak 20% kepada 2.4 bilion keping sebulan pada separuh kedua tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY2027), berbanding 2 bilion keping pada suku kedua, susulan jangkaan pemulihan penghantaran ke pasaran antarabangsa.
CGS International Securities Malaysia (CGSI) berkata, peningkatan itu berpotensi dicapai apabila kesesakan pelabuhan yang menjejaskan penghantaran sejak tercetusnya konflik di Asia Barat semakin berkurangan, selain disokong peningkatan kecekapan operasi Kilang 3 yang dijangka mencapai tahap produktiviti setanding Kilang 9 menjelang suku keempat FY2027.
Menurut firma penyelidikan itu, perkembangan tersebut mendorong semakan naik unjuran keuntungan bersih Hartalega sebanyak 9.5% kepada RM189.1 juta bagi FY2027, diikuti peningkatan 5.5% kepada RM229.2 juta pada FY2028 dan 1.6% kepada RM286.9 juta pada FY2029.
Sementara itu, Phillip Capital menerusi cabang penyelidikannya, Phillip Research, mengunjurkan keuntungan bersih teras Hartalega mencecah RM204.4 juta bagi FY2027, mencerminkan jangkaan pemulihan prestasi kumpulan walaupun berdepan tekanan kos bahan mentah dan persaingan harga daripada pengeluar China.
Kos pengeluaran masih menjadi cabaran
Phillip Research berkata, harga jualan purata sarung tangan Hartalega kini kembali kepada sekitar AS$22 (RM89) bagi setiap 1,000 keping berbanding AS$26 (RM105) pada suku kedua FY2027, sekali gus berpotensi mengehadkan peningkatan margin keuntungan meskipun jumlah jualan bertambah.
CGSI Research pula menjangkakan tekanan daripada inventori bahan mentah yang dibeli pada harga tinggi semakin berkurangan, namun memberi amaran bahawa kenaikan tarif gas asli boleh menjejaskan margin sekiranya kos tambahan tidak dapat dipindahkan sepenuhnya kepada pelanggan.
Keuntungan meningkat, prospek saham disemak
Dari segi prestasi kewangan, Hartalega mencatat keuntungan bersih RM32.8 juta bagi suku kedua FY2027, meningkat 79.3% berbanding RM18.3 juta setahun sebelumnya, manakala hasil bertambah 19.5% kepada RM644.7 juta. Bagi separuh pertama FY2027, keuntungan bersih meningkat kepada RM102.8 juta daripada RM30.9 juta.
Mengambil kira perkembangan itu, CGSI Research menaik taraf saranan Hartalega daripada 'kurangkan pegang' kepada 'pegang' serta meningkatkan harga sasaran kepada RM1.13 daripada RM1, manakala Phillip Research mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM1.11 sesaham, mencerminkan keyakinan berhati-hati terhadap pemulihan keuntungan kumpulan.- DagangNews.com






