Garden Bay City Kerteh bernilai RM800 juta ubah landskap pembangunan di kawasan selatan Terengganu

28 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Garden Bay City Kerteh bernilai RM800 juta ubah landskap pembangunan di kawasan selatan Terengganu Image from: Garden Bay City Kerteh bernilai RM800 juta ubah landskap pembangunan di kawasan selatan Terengganu liza28/10/2026 - 15:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 27 Okt – Pembangunan Garden Bay City dan The Walk di Kerteh, Kemaman bakal membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi setempat menerusi pembangunan bercampur bernilai RM800 juta yang menggabungkan komponen kediaman, perniagaan dan kemudahan komuniti.

 

Dibangunkan di atas tanah seluas 17.81 hektar (44 ekar) milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), projek berkenaan turut menyediakan 235 unit rumah mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta keluarga muda memiliki kediaman sendiri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pembangunan itu merupakan antara usaha kerajaan negeri mengoptimumkan penggunaan aset tanah melalui kerjasama dengan sektor swasta.

 

“Menerusi pendekatan itu, sebahagian hasil pembangunan akan disalurkan semula untuk menyokong kebajikan dan pembangunan rakyat Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Rumah mampu milik untuk penduduk Kerteh

Sebanyak 235 unit rumah mampu milik Jenis A dan B diwajibkan dalam pelan pembangunan tersebut ditawarkan dengan harga jualan antara RM90,000 hingga RM185,000 manakala rumah komersial ditawarkan pada harga antara RM550,000 hingga RM1.5 juta.

 

Menurut Wan Sukairi, penyediaan kediaman pada harga mampu milik penting bagi memenuhi keperluan penduduk Kerteh, khususnya pekerja dalam sektor perindustrian termasuk minyak dan gas.

 

Langkah itu diharap dapat memberi lebih banyak pilihan kepada keluarga muda serta pekerja berpendapatan rendah dan sederhana untuk tinggal berhampiran tempat kerja tanpa perlu berpindah ke kawasan yang lebih jauh.

 

Ruang perniagaan dan peluang pekerjaan

Selain pembangunan kediaman, projek itu merangkumi The Walk dan Nusa Walk Lifestyle Hub yang dirancang sebagai ruang perniagaan moden bagi menarik penyertaan jenama besar serta membuka peluang kepada peniaga tempatan.

 

Kesan ekonomi projek berkenaan dijangka mula dirasai sepanjang tempoh pembinaan yang dirancang berlangsung selama lapan tahun bermula 2026, termasuk melalui permintaan terhadap khidmat kontraktor kecil, pembekal, pengusaha makanan dan penyedia perkhidmatan logistik.

 

Apabila pembangunan itu beroperasi kelak, ia dijangka menyediakan ratusan peluang pekerjaan baharu, terutama kepada golongan muda, selain memberi ruang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman serta perkhidmatan.

 

Pemantauan pembangunan dan kelestarian

Dari segi pelaksanaan, pembangunan tersebut akan dijalankan secara berfasa dengan pemantauan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), agensi teknikal negeri dan LTAWNT bagi memastikan kemajuan kerja mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti ditetapkan.

 

Wan Sukairi berkata, pemantauan terhadap tadbir urus dan pematuhan jadual kerja oleh LTAWNT, selain rekod prestasi pemaju Ting Mee Land Sdn Bhd menjadi antara aspek yang diberi perhatian bagi menjaga kepentingan pembeli.

 

Pembangunan itu turut mengambil kira aspek alam sekitar menerusi penyediaan kawasan hijau terbuka, taman rekreasi, sistem perparitan moden dan loji rawatan kumbahan terancang.

 

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan perlu memberi manfaat kepada masyarakat setempat, bukan hanya tertumpu kepada pembangunan bangunan dan premis komersial, malah mewujudkan persekitaran yang selesa, bersih dan selamat untuk penduduk. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved