ParkCity Group dilaporkan beli dua hotel Shimao di Hong Kong bernilai RM1.4 bilion

23 Oct 2026 • 12:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ParkCity Group dilaporkan beli dua hotel Shimao di Hong Kong bernilai RM1.4 bilion Image from: ParkCity Group dilaporkan beli dua hotel Shimao di Hong Kong bernilai RM1.4 bilion hamden23/10/2026 - 12:27 Sheraton Hong Kong Tung Chung. - Gambar/ Marriott.com Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - ParkCity Group, pemaju hartanah swasta yang terkenal menerusi pembangunan bandar Desa ParkCity, dikaitkan dengan pembelian dua hotel milik Shimao Group Holdings Ltd di Hong Kong menerusi transaksi bernilai HK$2.7 bilion (RM1.4 bilion).

 

Dua hotel berkenaan ialah Sheraton Hong Kong Tung Chung Hotel dan Four Points by Sheraton, yang akan dijual bersama perniagaan hotel masing-masing kepada Oceanfront Hong Kong Ltd, sebuah syarikat milik entiti pelaburan yang mempunyai kaitan dengan ParkCity Group.

 

Menurut pemfailan Shimao kepada bursa, urus niaga itu dijangka selesai menjelang akhir 2026.

 

Shimao, yang disenaraikan di Hong Kong, memaklumkan perjanjian jual beli berkenaan dimeterai pada 20 Oktober oleh Brand Rise Ltd, anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya kumpulan itu yang bertindak menerusi penerima dan pengurus yang dilantik mahkamah.

 

Proses tender bagi penjualan berkenaan bermula pada Jun dan ditutup pada 31 Ogos, dengan proses pembidaan disifatkan sangat kompetitif. Harga jualan ditentukan menerusi rundingan secara telus antara pihak-pihak yang terlibat.

 

Shimao berkata hasil bersih daripada pelupusan itu akan digunakan oleh penerima untuk membayar sebahagian daripada pinjaman tertunggak di bawah perjanjian pinjaman sindiket bertarikh 27 Julai 2020, yang dijamin melalui debentur dan gadai janji.

 

Pembayaran balik itu dijangka mengurangkan jumlah hutang keseluruhan kumpulan serta mengukuhkan kedudukan kewangannya ketika syarikat meneruskan usaha menyelesaikan liabiliti secara teratur.

 

Syarikat itu turut menjelaskan hotel berkenaan merupakan aset luar pesisir khusus di bawah penstrukturan semula hutang luar pesisirnya yang berkuat kuasa pada 21 Julai 2025.

 

Pelupusan itu akan mencetuskan peruntukan tertentu di bawah pengaturan penstrukturan semula berkenaan.

 

Memandangkan hasil jualan akan digunakan terlebih dahulu untuk membayar hutang bercagar, Shimao tidak menjangkakan sebarang hasil tunai bersih dapat dimasukkan ke dalam akaun yang ditetapkan.

 

Shimao turut mengesahkan Oceanfront Hong Kong dan pemilik benefisial muktamadnya merupakan pihak ketiga bebas serta bukan pihak berkaitan dengan syarikat itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved