Awantec raih kontrak RM8.68 juta daripada TH Plantations bagi pembekalan sistem ERP

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Awantec raih kontrak RM8.68 juta daripada TH Plantations bagi pembekalan sistem ERP Image from: Awantec raih kontrak RM8.68 juta daripada TH Plantations bagi pembekalan sistem ERP hamden20/10/2026 - 17:55 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt - AwanBiru Technology Berhad (Awantec) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB), memperoleh kontrak bernilai RM8.68 juta daripada TH Plantations Bhd (THP) bagi pembekalan dan pelaksanaan sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) Sage X3 untuk kumpulan perladangan itu.

 

Awantec dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ASSB menerima surat anugerah daripada THP pada 20 Oktober 2026 bagi melaksanakan pembekalan, konfigurasi, pengujian, latihan, pentauliahan, sokongan dan penyelenggaraan sistem berkenaan.

 

Kontrak bernilai RM8.68 juta itu, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mempunyai tempoh selama 60 bulan bermula 1 Oktober 2026 hingga 30 September 2031.

 

Pelaksanaan sistem ERP itu akan meliputi rangkaian operasi Kumpulan THP, termasuk syarikat, ladang dan kilang sawitnya.

 

THP terlibat terutamanya dalam perniagaan perladangan kelapa sawit, termasuk penanaman kelapa sawit, pemprosesan tandan buah segar (BTS) serta pemasaran minyak sawit mentah, isirung sawit dan BTS.

 

Menurut Awantec, penerimaan kontrak itu dijangka memberi kesan positif terhadap pendapatan sesaham dan aset ketara bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak, sekiranya tiada keadaan luar jangka berlaku.

 

Lembaga Pengarah AWANTEC berpandangan projek berkenaan merupakan peluang positif yang selaras dengan matlamat kumpulan untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan transformasi digital yang inovatif kepada pelanggan.

 

Bagaimanapun, syarikat itu berkata pelaksanaan projek berdepan risiko operasi, termasuk kemungkinan kelewatan dalam proses pelaksanaan, konfigurasi, pengujian, latihan dan pentauliahan yang boleh menjejaskan garis masa projek.

 

Bagi mengurangkan risiko tersebut, ASSB akan melaksanakan pelan pelaksanaan projek menyeluruh yang merangkumi penetapan pencapaian utama, pengujian rapi serta kawalan pengurusan projek.

 

Awantec turut memaklumkan penerimaan surat anugerah itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat.

 

Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama AWANTEC atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved