Projek M Nova bernilai RM790 juta siap 15 bulan lebih awal, 98% unit sudah terjual

20 Nov 2026 • 12:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek M Nova bernilai RM790 juta siap 15 bulan lebih awal, 98% unit sudah terjual Image from: Projek M Nova bernilai RM790 juta siap 15 bulan lebih awal, 98% unit sudah terjual sarah20/11/2026 - 12:31 Gambar hiasan dari laman web rasmi M Nova Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - Mah Sing Group Bhd berjaya menyiapkan projek pembangunan bercampur M Nova di Kepong bernilai RM790 juta, 15 bulan lebih awal daripada jadual, dengan 98% unit kediamannya sudah terjual.

 

Projek seluas 8.09 ekar berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu merangkumi tiga menara kediaman perkhidmatan, 11 lot perniagaan dan sebuah premis pandu lalu, sekali gus menjadi pembangunan kediaman ketiga Mah Sing di Kepong selepas Lakeville Residence dan M Luna.

 

Menurut Mah Sing dalam kenyataan hari ini, penyiapan awal projek berkenaan turut disertai pencapaian skor 86% bagi Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) dan 95.04% bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC).

 

Projek itu juga mencatatkan lima juta jam bekerja tanpa kemalangan yang menyebabkan kehilangan waktu bekerja, selain menerima pensijilan GreenRE Bronze bagi ciri bangunan yang mengambil kira aspek kelestarian.

 

Jualan kukuh sokong pertumbuhan hartanah

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, penyiapan awal M Nova mencerminkan keupayaan syarikat melaksanakan pembangunan mengikut perancangan, di samping mengekalkan standard kualiti dan keselamatan pembinaan.

 

Beliau berkata, prestasi jualan hartanah yang kukuh, nilai jualan belum dibilkan yang sihat serta kedudukan tunai kumpulan memberi keyakinan kepada Mah Sing untuk meneruskan pertumbuhan, termasuk memperoleh tanah pembangunan secara terpilih di lokasi berpotensi seperti M Araya di Ampang.

 

Infrastruktur digital sebagai sumber pertumbuhan kedua

Selain mengekalkan pembangunan hartanah sebagai perniagaan teras, Leong berkata, Mah Sing melihat infrastruktur digital sebagai bidang yang berpotensi menjadi sumber pertumbuhan kedua kumpulan dalam jangka panjang.

 

Tambah beliau, syarikat turut meneroka peluang dalam infrastruktur sokongan, termasuk bekalan tenaga, air dan kemudahan asas lain, seiring peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital bagi memperkukuh daya tahan perniagaan serta menyokong pertumbuhan masa depan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved