
PETALING JAYA – Perginya ‘ibu pertiwi’ Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah semalam, pantas mengembalikan sebuah momen yang masih basah dalam ingatan 120 anak seni dan pengamal media yang hadir pada Majlis Seniman Semeja di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, tujuh hari lalu.
Genap seminggu, majlis itu menjadi satu detik cukup bermakna, bukan sahaja menjadi ruang anak seni daripada generasi muda hingga legenda berkumpul, beramah mesra dan menzahirkan penghargaan buat Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Siti Hasmah, lebih istimewa, majlis cukup meriah dan penuh kasih sayang itu turut meraikan ulang tahun kelahiran ‘tertunda’ pasangan negarawan itu.
Sesuatu yang paling menyentuh rasa, pada hari-hari terakhirnya bersama anak-anak seni yang rata-rata bertaraf pemuja dan penyanjungnya, Tun Siti Hasmah tidak hanya hadir duduk di meja kehormat.
Dalam sisa usia dan kudrat yang tidak seberapa, wanita agung negara itu tetap berupaya melantunkan simfoni cinta dalam dirinya menerusi gesekan biola, sebuah persembahan khas dengan dua buah lagu, termasuk Permata Untuk Isteri buat tetamu dan tentunya suami tercinta yang diraikan.
Siapa sangka, itulah gesekan biola terakhir daripada Tun Siti Hasmah untuk kita semua. Saat Allahyarham menggesek biola, semua mata yang hadir tertumpu kepadanya.
Pada majlis yang rata-ratanya dihadiri anak-anak seni, nama baharu dan lama, antara Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Remy Ishak, Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Ameng Spring,
Siti Saleha serta puluhan lagi, semua nama itu seolah-olah anak-anak kecil yang teruja pertama kali bertemu bintang pujaan, semuanya ibarat ‘star struck’ terhadap dua Tun ‘bintang hati’ kesayangan negara itu.
Baik Tun Siti Hasmah dan Tun Mahathir, dalam kondisi fizikal tidak begitu sihat, kedua-dua mereka ceria dan tetap tersenyum melayani ‘kegilaan’ para selebriti yang sepertinya tidak pernah bertemu mereka.
The post Gesekan biola terakhir Tun Siti Hasmah appeared first on Kosmo Online.






