Google Mengaktifkan Ciri Mengunci Peranti Android Yang Diragut Secara Automatik

TechnologyDigital
19 Aug 2024 • 1:38 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Saya mengenali beberapa rakan dan ahli keluarga yang telefon pintar mereka diragut oleh pembonceng motor ketika digunakan. Kerana peranti diragut dengan pantas, ia tidak sempat dikunci dan akibatnya data peribadi mungkin dapat diakses oleh pencuri. Google pada hujung minggu lalu mula mengaktifkan ciri mengesan kecurian dengan diragut kepada pengguna di Brazil dalam versi beta.

image is not available

Kemas kini diberikan menerusi Google Play Service pada peranti yang menggunakan sekurang-kurangnya Android 10. Terdapat dua tetapan yang boleh diaktifkan oleh pemilik peranti. Tetapan pertama akan mengunci skrin secara automatik apabila accelerometer mengesan aktiviti seakan peranti diragut atau disentap dengan pantas. Tetapan kedua pula terus meletakkan peranti dalam mod luar talian juga apabila accelerometer mengesan pergerakan yang sama.

Kedua-dua ciri ini tidak memudahkan peranti dijejak tetapi ia sekurang-kurangnya mengelakkan penyalahgunaan data peribadi atau aplikasi perbankan oleh pencuri. Masih belum diketahui bila ciri ini akan diberikan kepada pengguna global.