KJTS peroleh kontrak RM37.39 juta daripada syarikat semikonduktor Jerman di Malaysia

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KJTS peroleh kontrak RM37.39 juta daripada syarikat semikonduktor Jerman di Malaysia Image from: KJTS peroleh kontrak RM37.39 juta daripada syarikat semikonduktor Jerman di Malaysia sarah24/11/2026 - 18:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - KJTS Group Berhad memperkukuh kedudukannya dalam sektor perkhidmatan sokongan industri semikonduktor selepas memperoleh kontrak bernilai RM37.39 juta daripada sebuah syarikat multinasional semikonduktor yang beribu pejabat di Jerman.

 

Kontrak itu melibatkan penyediaan perkhidmatan pembersihan di kemudahan pengeluaran syarikat berkenaan di Malaysia bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Februari 2027.

 

KJTS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikat milik penuhnya, ETC Cleaning Services Sdn Bhd (ETC) telah memeterai perjanjian rangka kerja dengan syarikat semikonduktor berkenaan.

 

Bagaimanapun, identiti pelanggan dan lokasi kemudahan pengeluaran tersebut tidak didedahkan.

 

Skop perkhidmatan meliputi kemudahan pengeluaran semikonduktor

Skop kontrak merangkumi perkhidmatan pembersihan di pelbagai kemudahan dalam kompleks pengeluaran tersebut, termasuk bilik bersih (cleanroom), kawasan pengeluaran biasa, makmal dan pejabat.

 

Bilik bersih merupakan ruang dengan persekitaran terkawal yang penting dalam industri semikonduktor bagi meminimumkan pencemaran habuk dan zarah halus yang boleh menjejaskan proses pengeluaran.

 

Perkhidmatan itu turut meliputi kawasan umum, kafeteria, kantin, tandas, tempat letak kenderaan serta kawasan luar kompleks pengeluaran.

 

Selain itu, ETC bertanggungjawab menyediakan kakitangan pengurusan tapak, mengurus operasi, membekalkan bahan pembersihan serta menjalankan kerja penyelenggaraan berkaitan.

 

Sumbang kepada pendapatan sehingga 2030

KJTS menjangkakan kontrak tersebut memberi sumbangan positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh perjanjian sehingga awal 2030.

 

Kumpulan juga tidak menjangkakan sebarang risiko material daripada kontrak berkenaan selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan aktiviti perniagaannya.

 

Lembaga pengarah KJTS berpandangan bahawa perjanjian tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat selepas mengambil kira semua aspek berkaitan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved