Steel Hawk peroleh tiga kontrak pembinaan perumahan RM57.68 juta di Perak

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Steel Hawk peroleh tiga kontrak pembinaan perumahan RM57.68 juta di Perak Image from: Steel Hawk peroleh tiga kontrak pembinaan perumahan RM57.68 juta di Perak sarah26/11/2026 - 11:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Steel Hawk Bhd (Steel Hawk) memperoleh tiga kontrak pembinaan perumahan bernilai keseluruhan RM57.68 juta di Perak, melibatkan pembinaan 234 unit rumah teres di Kampar dan Kinta.

 

Kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB), daripada tiga syarikat berasingan, iaitu Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd, Forthright Property Sdn Bhd dan Forte Emerald Sdn Bhd.

 

Steel Hawk dalam tiga makluman berasingan kepada Bursa Malaysia berkata, surat tawaran kontrak bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) secara siap guna itu diterima pada 25 November 2026.

 

Dua projek perumahan di Kampar

Kontrak terbesar bernilai RM21.46 juta daripada Forthright Property melibatkan pembangunan dua fasa projek Laman Angsana SSI di Bandar Kampar, di atas tanah seluas kira-kira 7.5 ekar.

 

Fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan 59 unit rumah teres setingkat, manakala fasa kedua membabitkan pembinaan 32 unit rumah teres setingkat.

 

Sementara itu, kontrak bernilai RM20.66 juta daripada Mimbar Nusantara Holdings melibatkan pembangunan dua fasa projek Astana Impian di atas sebahagian tanah kerajaan seluas kira-kira 4.53 ekar di Malim Nawar, Kampar, untuk Majlis Daerah Kampar.

 

Fasa pertama projek tersebut membabitkan pembinaan 22 unit rumah teres setingkat dan 21 unit rumah teres dua tingkat, manakala fasa kedua melibatkan pembinaan 30 unit rumah teres dua tingkat, berserta kerja infrastruktur.

 

Bina 70 rumah teres di Chemor

Kontrak ketiga bernilai RM15.56 juta daripada Forte Emerald pula melibatkan pembangunan projek Astana Chemor Fasa 2 di Chemor, Kinta.

 

Projek untuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak itu membabitkan pembinaan 70 unit rumah teres setingkat berserta kerja infrastruktur di atas sebahagian tanah kerajaan.

 

Ketiga-tiga kontrak tersebut menetapkan tempoh pelaksanaan dalam masa 12 bulan daripada tarikh kerja bagi setiap fasa berkenaan dimulakan, dengan Steel Hawk bertindak sebagai kontraktor utama.

 

Steel Hawk menjangkakan ketiga-tiga kontrak itu menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, tanpa memberi kesan material kepada aset bersih, modal saham dan struktur pegangan sahamnya.

 

Lembaga pengarah Steel Hawk berpandangan kontrak berkenaan merupakan sebahagian daripada urusan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik syarikat, selain tidak mendedahkan kumpulan kepada risiko material selain risiko lazim pelaksanaan kontrak EPCC. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved