amree02/09/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept – KJTS Group Berhad memperoleh kontrak berjumlah RM48 juta untuk kerja operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta bekalan air sejuk selama 20 tahun kepada empat hotel di Thailand.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak dimeterai subsidiarinya, KJTN Engineering Company Limited dengan empat anak syarikat milik penuh Central Plaza Hotel Public Company Limited (Centel).
Empat perjanjian itu ditandatangani pada 2 September 2026, dengan kerja naik taraf dijangka bermula bulan ini dan siap menjelang Februari 2027, selain ia turut menerima fi bulanan dengan kadar boleh berubah.
"Sementara perkhidmatan O&M dan bekalan air sejuk akan berlangsung dari Mac 2027 hingga Februari 2047, sekali gus memberikan aliran pendapatan yang berulang untuk tempoh dua dekad," jelas KJTS.
Hotel pertama, Centara Reserve Samui, melibatkan perjanjian dengan fi tetap bulanan sebanyak 461,666.67 baht atau kira-kira RM56,075, yang bersamaan sebanyak RM13.46 juta sepanjang 20 tahun itu.
Sementara itu, bagi Centara Hotel Hat Yai menawarkan fi tetap bulanan 441,125.80 baht atau sekitar RM53,580, dengan jumlah fi tetap kira-kira RM12.86 juta selama tempoh dua dekad kontrak tersebut.
Ujar KJTS, dua lagi perjanjian membabitkan Centara Grand Beach Resort Phuket dan Centara Karon Resort Phuket pula, masing-masing dengan jumlah fi tetap kira-kira RM12.86 juta dan RM8.65 juta.

"Menariknya, bagi tiga perjanjian reka bentuk, bina dan operasi (DBO), sebahagian kos bagi kerja naik taraf dibiayai oleh pihak hotel, manakala baki akan dibiayai oleh KJTN Engineering," tambahnya.
Anak syarikat kumpulan berkenaan kemudiannya diwajibkan membeli semula bahagian peralatan dan bahan yang dibiayai oleh pihak hotel tersebut pada harga bersamaan dengan jumlah pembiayaan projek itu.
Secara keseluruhan, jumlah kerja dibiayai KJTN Engineering bagi empat hotel adalah kira-kira 58.14 juta baht atau RM7.06 juta, serta dibiayai melalui dana dijana dalaman KJTS atau pinjaman bank.
Selain fi tetap, KJTN Engineering juga akan mengenakan fi berubah bulanan berdasarkan kepada jumlah air sejuk yang dibekalkan, dan membuka potensi pendapatan tambahan sepanjang tempoh kontrak itu.
"Pemilikan loji penyejuk pula akan dipindahkan terus kepada pihak hotel berkenaan selepas tamat tempoh perjanjian tanpa ada sebarang kos tambahan yang akan dikenakan," jelas kumpulan tersebut.
KJTN Engineering juga kata KJTS, mempunyai hubungan kerja sedia ada dengan kumpulan Centel kerana sebelum ini pernah melaksanakan sebanyak tiga projek penyejukan untuk rangkaian hotel berkenaan.
Perjanjian baharu dimeterai tersebut katanya, turut dijangka memberi sumbangan yang positif kepada hasil dan aset bersih kumpulan sehingga tamat tempoh kontrak. - DagangNews.com






