Guchil mahu keluar daripada ‘perangkap’ banjir

LocalEnvironment
18 Oct 2026 • 3:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guchil mahu keluar daripada ‘perangkap’ banjir

KEDUDUKAN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Kuala Krai, Kelantan yang berhampiran sistem Sungai Kelantan menjadikan isu banjir antara cabaran utama yang perlu ditangani secara berterusan, bukan sekadar ketika musim tengkujuh.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah, pendekatan menangani banjir tidak boleh lagi tertumpu kepada tindakan selepas bencana berlaku, sebaliknya perlu bermula dengan usaha mengurangkan risiko sebelum air melimpah.

Image from: Guchil mahu keluar daripada ‘perangkap’ banjir

Katanya, kedudukan Guchil dalam lembangan Sungai Kelantan dan berhampiran beberapa anak sungai menyebabkan sebahagian kawasan sentiasa terdedah kepada risiko banjir, terutama ketika musim tengkujuh.

 

“Sebagai wakil rakyat, cabaran kita bukan sekadar membantu ketika banjir berlaku, tetapi bagaimana hendak mengurangkan kesannya kepada rakyat dalam jangka panjang.

“Ini melibatkan penyelenggaraan sistem perparitan, saliran, tebing sungai, jalan perhubungan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, dua lokasi utama di Pekan Guchil telah dikenal pasti untuk dibina kolam takungan bagi menampung air dan mengelakkan kejadian banjir kilat, dengan kos setiap kolam takungan dianggarkan RM10 juta.

Katanya, pengalaman banjir besar pada 2014 yang pernah melanda Kuala Krai, katanya, menjadi pengajaran bahawa isu banjir perlu ditangani secara menyeluruh melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Jajahan serta agensi berkaitan.

Pada masa sama, beliau berkata, kesiapsiagaan di peringkat komuniti turut penting bagi memastikan rakyat terjejas mendapat bantuan dengan cepat, golongan rentan diberi perhatian, laluan keluar masuk kampung tidak terputus dan sistem amaran serta pengurusan bencana sentiasa berada pada tahap baik.

Katanya, DUN Guchil juga sentiasa mengadakan libat urus dengan agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan tempatan sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana.

“Bagi saya, pendekatan terbaik adalah mengurus banjir sebelum banjir berlaku, bukan hanya bertindak selepas rakyat sudah menjadi mangsa,” katanya.

TIGA ISU UTAMA RAKYAT

Selain banjir, Hilmi berkata, tiga perkara yang paling kerap dibangkitkan penduduk Guchil ketika ini adalah infrastruktur asas, peluang ekonomi serta kebajikan dan perumahan.

Katanya, keadaan jalan, longkang, sistem perparitan, lampu jalan dan beberapa kemudahan awam memerlukan penyelenggaraan atau naik taraf secara berkala, lebih-lebih lagi Guchil merupakan pusat bandar Jajahan Kuala Krai.

“Perkara ini kita bawa secara berterusan kepada agensi teknikal, PBT dan jabatan berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Dalam soal ekonomi dan kos sara hidup pula, katanya, rakyat bukan sekadar memerlukan bantuan sementara, sebaliknya peluang untuk menjana pendapatan secara berterusan. Sehubungan itu, pembangunan usahawan kecil, sektor pertanian, perniagaan, penjaja, peniaga pasar serta pendedahan ilmu pemasaran perlu diberi perhatian, termasuk pemasaran secara dalam talian yang kini menjadi saingan kepada jualan produk fizikal.

Sementara itu, isu kebajikan dan perumahan terutama membabitkan golongan berpendapatan rendah, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), keluarga yang berdepan masalah rumah serta golongan muda yang baru memulakan kehidupan, turut menjadi antara cabaran terbesar.

“Lokasi DUN Guchil terletak dalam bandar, maka tiada tanah kosong milik kerajaan untuk dibangunkan rumah RMMK atau PPR bagi mengatasi masalah perumahan dan penempatan warga bandar.

“Saya masih berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

ADUAN DENGAN TINDAKAN SUSULAN

Hilmi berkata, pendekatan beliau adalah memastikan setiap aduan mempunyai tindakan susulan walaupun sebahagiannya memerlukan peruntukan besar dan melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi.

“Tidak semua perkara dapat diselesaikan dalam masa singkat, tetapi perkara paling penting adalah masalah rakyat mesti dibawa, dipantau dan diperjuangkan sehingga ada penyelesaian,” katanya.

Dalam menangani masalah infrastruktur, beliau berpandangan isu jalan dan sistem saliran tidak boleh dilihat secara berasingan.

“Kita tidak boleh membaiki jalan sahaja sedangkan masalah aliran air tidak diselesaikan. Begitu juga kita tidak boleh membina longkang tanpa melihat ke mana air itu akhirnya akan dialirkan. Ini adalah masalah perbandaran,” katanya.

Antara usaha yang diperjuangkan termasuk kerja menaik taraf dan menyelenggara longkang serta saliran utama, membersihkan saliran tersumbat, memperbaiki struktur perparitan di kawasan penempatan serta memastikan projek pembangunan baharu mempunyai sistem saliran mencukupi.

Bagi kawasan yang kerap mengalami banjir atau air bertakung, beliau mahu kajian dibuat berdasarkan keseluruhan sistem aliran air termasuk hubungan antara longkang, anak sungai dan Sungai Kelantan.

Katanya, pembinaan kolam takungan khususnya di bandar dan perumahan padat penting bagi mengurangkan kejadian banjir kilat.

Dalam soal jalan pula, keutamaan diberikan kepada laluan utama penduduk, laluan sekolah, kawasan ekonomi serta jalan yang rosak akibat banjir atau mempunyai risiko keselamatan.
Beliau turut memperjuangkan pembinaan jalan di pesisir sungai bagi menghidupkan semula penempatan sepanjang Sungai Kelantan. -UTUSAN

The post Guchil mahu keluar daripada ‘perangkap’ banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved