Guna Tisu Basah Untuk Cuci Najis Bayi Tidak Suci Dari Hadas? Ini Penjelasannya

Family & Parenting
29 Jul 2025 • 10:58 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bayi dan juga anak kecil berusia sekitar 0 hingga 4 tahun kebiasaannya memerlukan bantuan orang dewasa setiap kali ingin mencuci najis mereka.

Bagi bayi pula terdapat beberapa keadaan di mana para ibu bapa akan menggunakan tisu basah untuk memudahkan proses mencuci.

Namun ada yang mengatakan tisu basah tidak mensucikan bayi daripada hadas sebaliknya hanya membersihkan. Perkara ini perlu diteliti kerana agama Islam begitu mementingkan bab bersuci dan kebersihan.

Betul ke bersihkan najis bayi menggunakan tisu basah tidak menyucikan?

Baru-baru ini seorang pengguna Threads telah berkongsi perkara sama dan memaklumkan ibu bapa tidak boleh mengangkat bayi ketika mendirikan solat kerana dikira seperti menanggung najis.

Hal ini disebabkan bayi yang najisnya dicuci dengan tisu basah tidak suci dari hadas.

Memetik lawan sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, najis bayi tergolong dalam dua jenis iaitu najis Mukhafffah bagi air kencing bayi lelaki bawah dua tahun yang hanya minum air susu ibunya dan satu lagi adalah najis Mutawassitoh.

Cara penyucian dua najis itu juga berbeza seperti yang dinyatakan Habib Hasan Bin Ahmad al-Kaf dalam kitabnya:

  • Najib Mukhaffafah – cara mencucinya cukup dengan merenjiskan air (air mesti melebihi kuantiti najis) ke atas najis kemudian menghilangkan ain serta sifatnya.
  • Najis Mutawassithoh – membersihkannya dengan melakukan air ke atasnya sehingga hilang sifatnya iaitu menghilangkan warna, bau serta rasa (al-Taqrirat al-Sadidah, 135).

Syarat air untuk bersuci & alatan lain yang boleh digunakan untuk beristinjak

Air yang perlu digunakan untuk menyucikan najis adalah air yang suci dan boleh menyucikan iaitu air mutlak.

Air Musta’mal dan air Mutaghayyir (iaitu air mutlah sudah berubah sifatnya kerana bercampur dengan sesuatu seperti air mawar atau sabun) tidak boleh menyucikan najis.

Sekiranya berdepan isu kekurangan atau ketiadaan air mutlak, terdapat beberapa barangan atau alat yang boleh digunakan untuk beristinjak seperti batu, tisu kering, daun dan sebagainya.

Antara syarat menggunakan alat itu untuk bersuci adalah:

  • Pertama, hendaklah benda itu sesuatu yang suci dan bukan najis. Sekiranya seseorang individu beristinjak dengan najis maka hendaklah dia membersihkannya sekali lagi dengan menggunakan air.
  • Kedua, hendaklah benda berkenaan kering serta kesat. Ekoran itu, tak sah sesuatu yang bersifat licin mahupun basah.
  • Ketiga hendaklah ia bukan sesuatu yang dihormati seperti makanan, tulang binatang dan sebagainya (Raudah alTolibin al Nawawi, 1/68-69).

Bukan hanya itu, bahan kesat lain yang boleh digunakan adalah tisu tandas kerana ia boleh menghilangkan najis, serta membersihkan anggota badan.

Namun adalah lebih afdhal jika mampu menghimpunkan kedua-duanya seperti menghilangkan najis terlebih dahulu dengan benda kesah serta disudahi dengan membasuhnya menggunakan air (Kasyifat al-Saja, 266).

Adalah penting untuk memastikan najis yang keluar tidak kering, atau tidak mengalir keluar daripada kawasan punggung atau kepala zakar atau kawasan kencing bagi wanita. begitu juga najis itu tidak terkena pada bahagian lain ketika ia keluar (al-Fiqh al-Mahanji 1/45-46).

Syarat untuk sucikan najis mutawassithoh

Mengikut dalil serta pendapat daripada para fuqaha’ kesimpulannya syarat untuk menyucikan najis Mutawassithoh hendaklah:

  • Guna air mutlak
  • Air mesti mengalir di kawasan najis
  • Hilang sifatnya seperti bau, rasa dan warna
  • Tak boleh guna air Musta’mal atau air Mutaghaiir (berubah)

Tisu basah bayi mengandungi bahan pewangi dan air sabun

Dari segi penggunaan tisu basah bayi pula ia mengandungi air sabun serta pewangi yang bertujuan menghilangkan kekotoran.

“Oleh itu, berpandukan kepada syarat yang ditetapkan syarak, ia hanya boleh menghilangkan kotoran najis, tetapi tidak menyucikan tempat yang terkena najis.

“Namun begitu, dibolehkan menggunakan wipe bayi untuk menghilangkan kotoran, kemudian diwajibkan untuk membasuhnya semula dengan menggunakan air mutlak untuk menyucikan najis yang ada pada bayi berkenaan.

“Sebagai contoh jika seseorang itu melakukan tawaf sambil mendukung bayi yang dibersihkan menggunakan ‘wipe baby,’ maka tidak sah tawaf kerana bayi masih tidak suci daripada najis dengan sempurna dan ia dikira sebagai menanggung najis.

“Oleh itu, sebaiknya menghilangkan air najis dengan menggunakan wipe baby, kemudian membasuh dengan sedikit air mutlak yang mengalir bagi menghilangkan najis secara hukmi. Dan mengeringkannya dengan menggunakan tisu atau kain bersih,” jelasnya.

Source: