Moto3: Sesi kelayakan penentu impian Hakim Danish

30 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Moto3: Sesi kelayakan penentu impian Hakim Danish

PELUMBA sensasi Moto3 negara, Hakim Danish Ramli perlu memanfaatkan sepenuhnya sesi kelayakan pada Sabtu ini sekiranya mahu merealisasikan impian menaiki podium pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kedudukan di petak hadapan adalah faktor penentu memandangkan persaingan sengit dalam kelas ringan itu menuntut permulaan perlumbaan yang kompetitif.

“Paling penting pada hujung minggu ini adalah sesi kelayakan. Dia perlu berentap habis-habisan dengan pelumba lain supaya dapat menempatkan diri di petak paling hadapan pada perlumbaan Ahad nanti.

“Dari segi persiapan dan strategi, semuanya penting, tetapi kekuatan mentalnya untuk berada dalam kelompok depan bermula daripada sesi kelayakan itu sendiri,” katanya ketika ditemui di Sepang kelmarin.

Azhan Shafriman mengakui harapan tinggi peminat tempatan terhadap Hakim Danish tidak dapat dielakkan, terutama selepas anak jati Terengganu itu mencipta sensasi luar biasa pada musim sulungnya di kejuaraan dunia.

Untuk rekod, Hakim Danish mempamerkan aksi memukau apabila menaiki podium di tempat ketiga di Litar Mugello, sebelum melakar sejarah muncul juara di GP Republik Czech di Brno pada Julai lalu.

Bagaimanapun, konsistensi pelumba berusia 19 tahun itu sedikit teruji kebelakangan ini apabila sekadar merekodkan dua penamat dalam kelompok 10 terbaik sejak kemenangan di Brno, dengan kali terakhir dicapai di Litar Red Bull Ring, Austria, empat pusingan lalu.

“Tekanan itu memang sudah sedia ada kerana semua orang mengharapkan sekurang-kurangnya beliau dapat menaiki podium. Namun saranan saya, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri hanya semata-mata mahu mengejar podium.

“Berikan aksi terbaik kerana apa jua keputusannya pada Ahad nanti, kita semua tetap berbangga dengan pencapaiannya,” katanya.

 

The post Moto3: Sesi kelayakan penentu impian Hakim Danish appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved