Hakim Danish terus bersama MSi Racing Team pada 2027

8 Aug 2026 • 9:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hakim Danish terus bersama MSi Racing Team pada 2027

KUALA LUMPUR – Segala persoalan mengenai perjalanan Hakim Danish Ramli musim depan akhirnya terjawab apabila pelumba negara itu kekal meneruskan perjuangan bersama pasukan MSi Racing Team dalam kelas Moto3 bagi musim 2027.

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan pelumba muda negara berusia 19 tahun itu yang sebelum ini mendapat perhatian beberapa pasukan ternama termasuk dalam kelas Moto2 susulan aksi cemerlangnya sepanjang musim 2026.

Hakim Danish terus mendapat kepercayaan MSi Racing Team selepas mempamerkan peningkatan prestasi sepanjang musim, termasuk meraih podium pertamanya pada Grand Prix (GP) Itali di Mugello.

Kemuncak prestasi pelumba kelahiran Malaysia itu hadir pada GP Republik Czech di Brno apabila dia mencipta sejarah dengan muncul juara Moto3 selepas memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-14, sekali gus menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk memenangi perlumbaan Moto3 sejak Khairul Idham Pawi melakukannya pada GP Jerman pada 2016.

Menjelang musim 2027, anak jati Terengganu itu akan bergandingan dengan pelumba Argentina, Valentín Perrone, yang akan menjadi rakan sepasukannya dalam usaha membantu pasukan berkenaan mencabar saingan Moto3.

Hakim Danish melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk meneruskan perjalanan bersama MSi Racing Team, selain berazam memburu keputusan lebih baik pada musim depan.

“Saya benar-benar gembira dan bersyukur kerana dapat meneruskan bersama MSi Racing Team untuk musim 2027. Kami telah membina hubungan yang sangat baik sepanjang musim ini dan pasukan sentiasa memberikan sokongan kepada saya, sama ada di dalam mahupun di luar litar.

“Saya tidak sabar untuk terus bekerja keras bersama pasukan dan memburu keputusan yang lebih baik pada musim depan,” katanya.

Kerjasama antara MSi Racing Team dan pasukan Hakim Danish, ZK Racing turut memainkan peranan penting dalam pembangunan karier pelumba Terengganu itu apabila kedua-dua pihak sudah menjalinkan kerjasama sejak 2023 menerusi program FIM JuniorGP. -KOSMO! ONLINE

The post Hakim Danish terus bersama MSi Racing Team pada 2027 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved