Hampir 40% Podsiar Baharu Kini Dijana Oleh AI

TechnologyLifestyle
4 May 2026 • 3:14 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Hampir 40% podsiar baharu yang dimuat naik sejak kebelakangan ini adalah dipercayai dijana oleh kecerdasan buatan (AI) menurut laporan Bloomberg yang memetik data daripada laman Podcast Index. Sebanyak 10,871 episod podsiar baharu diterbitkan sejak 9 hari lalu dengan sebanyak 4,243 episod atau 39% daripadanya adalah janaan AI.

Podcast

Seperti isu yang melanda industri muzik, penggunaan AI generatif untuk menghasilkan kandungan untuk platform penstriman semakin meningkat. Episod boleh dijana dengan hanya memasukkan skrip yang juga dijana oleh AI untuk menghasilkan podsiar secara pantas seperti yang ditawarkan oleh Google NotebookLM.

Syarikat Inception Point misalnya mempunyai 10,000 rancangan podsiar aktif yang dijana oleh AI. Ia boleh menghasilkan 877 episode baharu dalam masa 48 jam sahaja. Ini adalah output yang mustahil dicapai oleh manusia secara manual.

Platform podsiar pada waktu ini belum mempunyai sebarang garis panduan mengenai podsiar yang dijana AI. Spotify hanya memperkenalkan lencana artis manusia minggu lalu bagi membezakan muzik yang dijana artis AI. Mungkin tidak masanya lencana sama dikembangkan kepada saluran podsiar manusia.