Handal Energy berdepan petisyen gulung tikar oleh Tractors Petroleum

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 10:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Handal Energy berdepan petisyen gulung tikar oleh Tractors Petroleum Image from: Handal Energy berdepan petisyen gulung tikar oleh Tractors Petroleum johardy25/11/2026 - 10:05 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Handal Energy Berhad berdepan petisyen gulung tikar yang difailkan oleh Tractors Petroleum Services Sdn Bhd berhubung tuntutan RM376,924.02 susulan penghakiman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Handal Energy berkata petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 November 2026 mengikut Seksyen 465(1)(e) dan (h) Akta Syarikat 2016. Petisyen itu disampaikan pada 17 November 2026.

 

Petisyen itu berasaskan penghakiman muktamad yang diperoleh Tractors Petroleum terhadap Handal Energy pada 10 September 2025 dalam kes sivil di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

 

Jumlah tuntutan setakat 11 Ogos 2026 merangkumi jumlah penghakiman RM373,785.94, kos RM3,000 dan faedah RM138.08 atas kos berkenaan. Faedah pada kadar 5% setahun terus dikenakan atas kos RM3,000 itu sehingga penyelesaian penuh.

 

Tractors Petroleum menyampaikan notis tuntutan mengikut Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 pada 12 Ogos 2026 di alamat berdaftar dan alamat perniagaan Handal Energy.

 

Menurut petisyen itu, Handal Energy gagal menjelaskan jumlah yang dituntut, memberikan jaminan atau mencapai persetujuan penyelesaian dalam tempoh tiga minggu selepas notis disampaikan.

 

Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes menerusi e-Review pada 9 Disember 2026, pukul 9 pagi, manakala pendengaran petisyen dijadualkan pada 8 Februari 2027, pukul 9.30 pagi. Nombor kes ialah BA-28NCC-843-11/2026.

 

Handal Energy jelaskan sebab lewat umum petisyen

Handal Energy berkata pihaknya hanya mengetahui tentang petisyen itu selepas iklan mengenainya disiarkan dalam New Straits Times pada 24 November. Menurut syarikat itu, petisyen berkenaan tidak diterima di alamat perniagaannya di Menara MBMR, Kuala Lumpur.

 

Selepas menghubungi bekas setiausaha syarikatnya, Handal Energy dimaklumkan bahawa petisyen itu dihantar ke pejabat bekas setiausaha berkenaan di Amcorp Tower, Petaling Jaya. Syarikat itu memperoleh salinan petisyen pada 24 November dan memaklumkannya kepada Bursa Malaysia sejurus selepas itu.

 

Handal Energy berkata setakat pengumuman itu, mahkamah belum mengeluarkan perintah gulung tikar. Syarikat itu menjangkakan petisyen berkenaan tidak memberi kesan material serta-merta terhadap operasi kumpulan.

 

Syarikat itu juga tidak menjangkakan kerugian material tambahan selain jumlah yang dituntut, faedah yang terus terakru dan sebarang kos guaman berkaitan.

 

Handal Energy sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan mempertimbangkan untuk mencabar petisyen itu, mencari penyelesaian secara baik dengan Tractors Petroleum atau mengambil kedua-dua langkah. Syarikat itu akan mengumumkan sebarang perkembangan material berhubung petisyen berkenaan. — DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved