Hantaran Bella Astillah, Syed Saddiq tampil unik, sarat simbolik

10 Oct 2026 • 12:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hantaran Bella Astillah, Syed Saddiq tampil unik, sarat simbolik
Syed Saddiq dan Bella Astillah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada pagi Sabtu.

SEBANYAK sembilan dulang hantaran daripada pihak penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dibalas tujuh dulang daripada pihak suaminya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sempena majlis pernikahan pasangan itu pada Sabtu.

Hantaran yang disediakan bukan sekadar hadiah perkahwinan, sebaliknya membawa simbolik tersendiri yang mencerminkan minat, impian serta perancangan masa depan pasangan berkenaan.

Antara hantaran daripada Syed Saddiq kepada Bella ialah cincin emas eksklusif tempahan khas daripada Goldfish Jewelry menggunakan emas tulen AU999, sebagai simbol ikatan cinta abadi.

Turut disertakan ialah tajaan pengajian pascasiswazah peringkat Sarjana Komunikasi melalui sistem APEL di School of Media and Communication (SOMAC), Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Masa Lapang, Taylor’s University.

Selain itu, Syed Saddiq menghadiahkan set gimnasium di rumah untuk Bella dan anak-anaknya, Ayden serta Ara, selain kerusi urut untuk kegunaan Bella, anak-anak dan kedua-dua ibu bapa pasangan itu.

Hantaran lain termasuk basikal yang melambangkan minat berbasikal bersama serta impian mengembara ke seluruh dunia, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000 untuk jaminan kewangan masa depan Bella, serta pakej umrah untuk pasangan itu yang ditaja Qashwa Travel Sdn Bhd.

Sementara itu, antara hantaran daripada Bella kepada Syed Saddiq ialah cincin emas eksklusif tempahan khas daripada Goldfish Jewelry, sepasang kasut Christian Louboutin, naskhah al-Quran dan minyak wangi.

Bella turut menyediakan e-book dan cermin mata yang mencerminkan minat suaminya terhadap pembacaan serta aktiviti sukan, selain coklat istimewa sebagai pelengkap hantaran.

Turut mencuri perhatian ialah emas tulen AU999 bertemakan Iron Man Malaysia, tempahan khas daripada Goldfish Jewelry yang membawa simbolik gelaran berkenaan serta impian Syed Saddiq untuk menjadi Iron Man Malaysia.

Lebih istimewa, Bella turut menghadiahkan penyertaan acara triatlon kepada suaminya, sebagai tanda sokongan terhadap minat dan impiannya dalam sukan lasak itu.

Acara berkenaan merangkumi renang sejauh 10 kilometer, berbasikal sejauh 421 kilometer dan larian sejauh 84.4 kilometer, dengan jarak keseluruhan 515.4 kilometer.

Pasangan itu turut mengenakan busana tajaan HijabistaHub bagi menyerikan majlis pernikahan mereka.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, sah bergelar suami isteri pada Sabtu dengan sekali lafaz.

Kedua pasangan itu dinikahkan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan mas kahwin sebanyak RM500.

Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank pada jam 10.40 pagi dan dihadiri kira-kira 300 orang ahli keluarga, tetamu kehormat dan rakan-rakan terdekat. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved