
KUALA KUBU BHARU - Pengguna jalan raya dan pendaki yang melalui laluan Fraser’s Hill-Kuala Kubu Bharu dinasihatkan supaya berwaspada susulan penampakan seekor harimau di tepi jalan berhampiran kawasan hutan.
Penampakan itu tular menerusi satu hantaran di platform Threads oleh akaun ‘peann999’ yang turut memuat naik dua keping gambar dipercayai menunjukkan haiwan berbelang itu berada di bahu jalan.
Menurut hantaran berkenaan, harimau itu dilihat berhampiran laluan denai Gus Gap Chorocco, kira-kira satu kilometer dari simpang Fraser’s Hill menghala ke Kuala Kubu Bharu.
Hantaran itu turut mengingatkan pengguna jalan raya dan pendaki supaya tidak berhenti berhampiran haiwan berkenaan atau cuba mendekatinya.
“Jangan berhenti, jangan buka tingkap. Jangan keluar dari kenderaan. Harimau ini dilihat berkeliaran di tepi jalan,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung laporan penampakan harimau berkenaan. - Getaran, 10 Oktober 2026






