
PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya akan turun bermati-matian untuk memadam defisit dua gol ketika berdepan Vietnam dalam aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026, malam ini.
Pertahanan muda Harimau Malaya, Aysar Hadi mengakui Vietnam memiliki kelebihan selepas menang 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Namun, Aysar percaya segala-galanya masih boleh berlaku dalam tempoh 90 minit dan Harimau Malaya tidak akan mengibarkan bendera putih ketika berdepan ribuan penyokong tuan rumah.
“Kami tahu Vietnam mempunyai kelebihan 2-0, tetapi saya rasa dalam bola sepak, semuanya boleh berlaku.
“Kami optimis dan yakin. Kami menghormati semua pemain Vietnam, tetapi kami akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan esok,” katanya.
Menurut Aysar, barisan pemain negara sedar tugas berat menanti mereka di Hanoi, namun kepercayaan antara satu sama lain menjadi bekalan penting untuk memastikan mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada skuad Naga Emas.
“Harimau Malaya tidak datang ke Hanoi untuk sekadar melengkapkan jadual, sebaliknya mahu berjuang sehingga wisel penamat bagi mencari peluang mengubah kedudukan agregat.
“Kami akan berusaha untuk mencapai keputusan yang terbaik. Kami akan memberikan segala-galanya di atas padang dan berjuang bersama-sama untuk pasukan,” katanya.
Pertahanan muda itu juga dijangka memainkan peranan penting bersama Ubaidullah Ubaidullah Shamsul Fazili dalam memastikan benteng Harimau Malaya lebih ampuh ketika berdepan asakan Vietnam yang bakal mendapat sokongan padu penyokong mereka di My Dinh.
Dengan defisit dua gol yang perlu dipadamkan, Aysar dan rakan sepasukannya perlu kekal tenang, berdisiplin serta berani mengambil peluang sekiranya mahu menghidupkan kembali peluang untuk mara ke final.
Misi itu pastinya sukar, namun semangat tidak mengalah Aysar dan barisan Harimau Malaya menjadi taruhan untuk mencipta kejutan di bumi Hanoi.-UTUSAN
The post Harimau Malaya tidak kibar bendera putih appeared first on Utusan Malaysia.






